PERKONGSIAN LIABILITI TERHAD (PLT)
Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) adalah satu bentuk entiti perniagaan alternatif yang menggabungkan ciri-ciri syarikat sendirian berhad dan perkongsian. Liabiliti pekongsi di dalam PLT adalah terhad sama seperti syarikat sendirian berhad tetapi pengurusannya adalah lebih mudah sama seperti perkongsian konvensional.ย
PLT diperkenalkan pada tahun 2012 dibawah Akta PLT 2012 dan Peraturan-Peraturan Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 (Peraturan PLT 2012). Bilangan minimum ahli bagi PLT ialah 2 orang dan tiada had bilangan maksima. Untuk mendaftar, pemohon boleh membuat permohonan online melalui MyLLP di laman sesawang SSM berserta maklumat dan yuran pendaftaran sebanyak RM 500.00.
Antara maklumat yang perlu disertakan di dalam permohonan pendaftaran adalah cadangan nama PLT yang ingin digunakan, jenis perniagaan yang akan dijalankan, alamat pejabat PLT serta butir-butir setiap pekongsi. Permohonan pendaftaran PLT dibuat oleh Pegawai Pematuhan PLT iaitu salah seorang pekongsi yang dilantik oleh PLT ataupun setiausaha syarikat (mengikut Akta Syarikat 2016) yang dilantik oleh PLT. Sekiranya PLT dibentuk bagi tujuan menjalankan amalan profesional, permohonan itu hendaklah disertakan bersama surat kelulusan daripada badan kawal selia profesyen tersebut sepertimana ditetapkan dalam Ruang Ketiga Jadual Pertama Akta PLT 2012.ย
Ciri-ciri PLT adalah pekongsi dianggap sebagai entiti berasingan daripada perniagaan. Ini memberikan kelebihan ahli pekongsi PLT di mana apa-apa hutang dan obligasi PLT akan ditanggung sepenuhnya oleh aset-aset PLT berbanding dengan perkongsian konvensional di mana pekongsi mempunyai liabiliti secara sendiri atau bersama dengan perniagaan perkongsian itu. PLT adalah kekal dan sebarang perubahan dalam perkongsian tidak akan menjejaskan kewujudan, hak atau liabiliti PLT. Dari segi pengurusan pula, ia adalah lebih mudah kerana struktur PLT adalah lebih fleksibel sebagai contoh, akaun perniagaan PLT tidak perlu diaudit. PLT juga tidak perlu menyediakan Penyata Kewangan Tahunan kepada SSM. Ciri-ciri ini juga akan merendahkan kos pengurusan kerana PLT tidak perlu melantik juruaudit dan setiausaha syarikat seperti keperluan di dalam syarikat sendirian berhad.ย