PEMBELIAN PREMIS PERNIAGAAN (SIAP DIBINA)
Pembelian premis perniagaan yang siap dibina adalah lebih terjamin jika dibandingkan dengan pembelian premis yang masih di dalam pembinaan. Penilaian yang tepat tentang kesesuaian premis juga dapat dilakukan dengan mudah kerana kita dapat melihatnya sendiri.
Kaedah pembelian premis perniagaan yang siap dibina adalah berbeza dari kaedah pembelian premis perniagaan yang belum dibina terutama sekali dari segi pembayaran yang perlu dibuat sekaligus di dalam jangka masa yang singkat. Namun, premis yang siap dibina boleh dimiliki terus tanpa menunggu tempoh pembinaannya.
SEMAKAN PERIHAL PREMIS
Sebelum menandatangani Perjanjian Jualbeli, semakan tentang premis perlu dibuat secara sendiri atau melalui ejen hartanah atau peguam melalui proses carian di pejabat tanah yang berkenaan jika dokumen hakmilik individu bagi premis telah dikeluarkan. Carian akan memastikan identiti pemilik premis dan menunjukkan samada premis dicagarkan kepada mana-mana institusi kewangan atau tertakluk kepada apa-apa sekatan kepentingan.
Sekatan kepentingan menghalang premis daripada dijual, dipajak atau dipindahmilik tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri. Jika terdapat sekatan kepentingan, penjual perlu memohon kebenaran daripada pihak berkuasa negeri untuk menjual dan memindahmilik premis kepada pembeli.ย
Di dalam transaksi jualbeli, pembeli dan penjual boleh melantik peguam masing-masing untuk mewakili mereka. Peguam yang sama tidak boleh mewakili kedua-dua pihak di dalam transaksi yang sama. Draf perjanjian akan disediakan oleh peguam pembeli untuk dipersetujui oleh peguam penjual sebelum ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Syarat di dalam perjanjian tidak tertakluk kepada mana-mana ketetapan tetapi bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.
PERJANJIAN JUALBELI
Perjanjian Jualbeli harus mengandungi perkara yang berikut >>ย
- Butir penjual dan pembeli seperti nama, nombor kad pengenalan atau nombor pendaftaran syarikat dan alamat.
- Deskripsi premis perniagaan termasuk saiz premis dan alamat pos.
- Butir dokumen hakmilik individu atau strata (jika ada).
- Harga jualan premis.
- Cara dan tempoh pembayaran.
- Denda lewat (jika pembeli lewat membayar baki harga jualan).
- Penyerahan milikan kosong (vacant possession).
- Penamatan perjanjian.
BAYARAN HARGA JUALAN PREMIS
Semasa Perjanjian Jualbeli ditandatangani, pembeli lazimnya membayar deposit sebanyak 10% daripada harga jualan premis. Baki sebanyak 90% daripada harga jualan premis selalunyaย dibayar oleh pembeli di dalam tempoh 3 bulan daripada tarikh perjanjian. Jika pembayaran gagal dijelaskan dalam tempoh itu, pembeli boleh memohon untuk mendapatkan tempoh lanjutan selama 1 bulan tetapi pembayaran dalam tempoh lanjutan akan dikenakan denda lewat pada kadar yang ditetapkan yang dikira atas bayaran yang masih tertunggak.ย
Cara pembayaran yang dihuraikan di atas adalah cara yang lazimnya digunakan di dalam perjanjian jualbeli tetapi terma ini boleh diubah tertakluk kepada kehendak dan persetujuan kedua-dua pihak.ย Setelah pembeli membayar harga jualan premis dengan sepenuhnya, penjual akan menyerahkan milikan kosong premis kepada pembeli.ย
DUTI SETEM
Duti setem yang dikenakan ke atas Perjanjian Jualbeli adalah nominal iaitu sebanyakย RM 10.00 bagi salinan asal dan setiap salinan pendua. Namun, terdapat duti setem yang dikenakan ke atas pindahmilik hartanah sekiranya dokumen hakmilik individu telah dikeluarkan.
Duti setem bagi pindahmilik hartanah dikira menurut skala berdasarkan harga jualan premis ataupun nilai pasarannya, mengikut mana yang lebih tinggi. Pengiraan duti setem bagi pindahmilik adalah seperti berikut >>
- 1% daripada RM 100,000 yang pertama.
- 2% daripada jumlah RM 100,001 sehingga RM 500,000.
- 3% daripada jumlah RM 500,001 sehingga RM 1,000,000.
- 4% daripada jumlah RM 1,000,001 dan seterusnya.