PEMBELIAN PREMIS PERNIAGAAN BARU
Memiliki premis perniagaan pasti menjadi impian setiap perniagaan yang kukuh dan stabil. Pilihan boleh dibuat untuk membeli premis perniagaan yang baru iaitu yang belum siap dibina ataupun premis yang sedia ada.
Namun begitu, membeli premis perniagaan adalah komitmen yang besar bagi jangka masa yang panjang. Dengan itu, langkah membeli premis harus dikaji dengan teliti supaya perniagaan tidak terikat dengan pembayaran premis perniagaan yang mungkin mempunyai impak negatif kepada aliran tunai perniagaan. Keperluan dan persekitaran perniagaan yang berubah dengan masa boleh menyebabkan ketidaksuaian premis perniagaan yang telah dibeli.
MEMBELI PREMIS PERNIAGAAN BARU
Berbanding dengan premis yang siap dibina, premis perniagaan yang belum siap dibina boleh dibeli dengan harga yang lebih rendah. Namun, risikonya tinggi kerana tidak ada jaminan bahawa premis itu akan siap mengikut perjanjian jualbeli yang ditandatangani oleh pembeli dan penjual (yang biasanya pemaju). Terdapat banyak kes di mana projek hartanah tidak dibina di dalam masa yang ditetapkan atau menjadi projek terbengkalai. Walaupun begitu, pembeli mempunyai hak untuk menuntut gantirugi daripada pemaju melalui proses mahkamah sekiranya ia berlaku. Berbanding dengan rumah kediaman, premis perniagaan tidak dilindungi di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan & Pelesenan) 1966.
PERINGKAT PRA-PERJANJIAN
Bagi premis baru, spesifikasi dan model premis yang ditunjukkan oleh pemaju harus diteliti sebelum membuat pilihan. Setelah memilih lot premis, pembelian premis tetapi tertakluk kepada penyempurnaan perjanjian jualbeli oleh pembeli dalam tempoh yang lazimnya empat belas hari dari tarikh Borang Tempahan. Pembeli selalunya dikenakan bayaran earnest deposit sebanyak 1% atau 2% daripada harga jualan premis. Bayaran deposit ini boleh dilupus oleh pemaju jika perjanjian jualbeli tidak ditandatangani di dalam masa yang ditetapkan.
PERJANJIAN JUALBELI
Perjanjian Jualbeli selalunya di dalam format yang standard dan disediakan oleh peguam yang dilantik oleh pemaju. Namun begitu, pembeli berhak untuk melantik peguam sendiri untuk urusan jualbeli ini. Pada realitinya, pemaju sering menawarkan yuran guaman percuma sekiranya pembeli menggunakan khidmat peguam pilihan pemaju.
TERMA PERJANJIAN JUALBELI
Terma penting yang harus diteliti di dalam Perjanjian Jualbeli adalah >
- Nama pemaju dan pembeli.
- Deskripsi dan spesifikasi premis seperti nama projek, nombor bangunan, nombor tingkat dan saiz lot serta pelan lantai dan pelan susunatur.
- Deskripsi dan spesifikasi tempat letak kereta (jika ada).
- Butir dokumen hakmilik individu atau strata (jika ada).
- Harga jualan premis.
- Bayaran deposit (pembeli selalunya membayar 10% daripada harga jualan premis semasa perjanjian ditandatangani).
- Bayaran bagi baki harga jualan secara berperingkat.
- Tempoh pembinaan.
- Denda lewat (sekiranya pemaju gagal membina di dalam tempoh pembinaan).
- Penamatan perjanjian.
BAYARAN BERPERINGKAT
Bayaran baki harga jualan premis adalah dibayar mengikut peringkat pembinaan premis. Apabila pembinaan telah sampai ke suatu tahap mengikut jadual yang tertera di dalam Perjanjian Jualbeli, arkitek pemaju akan mengesahkan pembinaan di dalam Sijil Arkitek. Pembeli selalunya diberi tempoh selama empat belas atau dua puluh satu hari (mengikut Perjanjian Jualbeli) yang dikira dari tarikh Sijil Arkitek untuk menjelaskan bayaran.
Jika pembeli gagal menjelaskan bayaran di dalam tempoh yang ditetapkan, denda lewat akan dikenakan mengikut kadar yang ditentukan di dalam Perjanjian Jualbeli.
TEMPOH PEMBINAAN
Tempoh pembinaan premis yang biasa adalah di antara 2 hingga 3 tahun daripada tarikh Perjanjian Jualbeli. Walaubagaimanapun, tempoh pembinaan yang dinyatakan di dalam Perjanjian Jualbeli adalah tertakluk kepada ketentuan pemaju. Sekiranya pembinaan premis terlewat, pemaju harus membayar denda lewat seperti yang dipersetujui di dalam Perjanjian Jualbeli. Namun, di dalam keadaan ini, pembeli masih bertanggungjawab untuk membayar ansuran pinjaman bank bagi pembelian premis.
DUTI SETEM
Perjanjian Jualbeli yang telah ditandatangani perlu disetemkan dengan bayaran duti setem yang nominal sebanyak RM 10 bagi salinan asal dan setiap salinan pendua.