Portal SembangLegal.com adalah portal nasihat guaman yang pertama di Malaysia yang membincangkan aspek undang-undang tentang perniagaan khusus bagi usahawan mikro dengan tujuan untuk membina komuniti usahawan celik undang-undang di Malaysia.
Kenali Sembang Legal
Pengasas SembangLegal.com iaitu Dato’ Azlin Ahmad Shaharbi adalah seorang peguam yang mengamalkan undang-undang selama 36 tahun dan beliau juga merupakan pemimpin usahawan terutama sekali di dalam kapasiti beliau selaku Mantan Presiden bagi Persatuan Wanita Bumiputera dalam Perniagaan dan Profesyen atau lebih dikenali sebagai Peniagawati.
Dari pengalaman Dato’ Azlin sendiri serta maklumbalas dari golongan usahawan, adalah didapati bahawa pengetahuan undang-undang di kalangan usahawan berada di tahap yang rendah dan ini sering menjadi penghalang kepada perkembangan dan kejayaan perniagaan, malah ia juga sering menjadi punca kepada kegagalan perniagaan.
Dengan itu, misi SembangLegal.com adalah untuk menyampaikan pengetahuan undang-undang yang asas dan relevan bagi usahawan bermula dari penubuhan perniagaan dan bagi setiap langkah perniagaan supaya usahawan dapat memanfaatkan bimbingan guaman ini untuk maju ke peringkat seterusnya.
Golongan sasar utama bagi SembangLegal.com adalah usahawan mikro di mana statistik menunjukkan bahawa hampir 80% dari Industri Kecil dan Sederhana (IKS) terdiri dari perniagaan mikro.
Memandangkan bahawa undang-undang adalah satu subjek yang serius dan sukar difahami oleh ramai, SembangLegal.com akan mengambil pendekatan yang berbeza di dalam penyampaian ilmu ini.
Aspek undang-undang akan disampaikan dengan cara dan bahasa yang mudah dan diselitkan juga dengan aplikasi aspek undang-undang ini di dalam perniagaan.
Perkongsian ilmu ini akan dibuat melalui teks, video dan audio sesuai dengan era digital masakini dan juga untuk memudahkan akses online bagi usahawan di seluruh negara.
Team SembangLegal.com Diketuai Oleh Dato’ Azlin Selaku Head Coach
Bersama Dengan Coach Lain Yang Semuanya Mempunyai Kelayakan Undang-Undang
SembangLegal.com telah dilancarkan pada bulan Februari 2023. Untuk pengetahuan umum, idea untuk memulakan SembangLegal.com telah tercetus sebelum pandemik Covid-19 lagi, namun projek ini tidak dapat dilaksanakan pada masa itu.
Namun, jika difikirkan kembali, sekarang adalah masa yang sesuai untuk memulakan portal ini kerana ramai usahawan yang sedang di dalam fasa membina balik dan memperbaiki perniagaan mereka setelah mengharungi cabaran Covid-19.
Dengan itu adalah menjadi harapan team di SembangLegal.com agar semua usahawan akan melayari portal ini dan menjadi ahli SembangLegal.com supaya kita dapat sama-sama meningkatkan pengetahuan undang-undang untuk menjalankan perniagaan dengan profesional, efisien dan efektif.