Skip to main content

PEMILIKAN TUNGGAL

Perniagaan pemilikan tunggal (“sole proprietorship”) atau juga dikenali sebagai enterprise adalah bentuk perniagaan yang paling asas dan mudah ditubuh serta diurus. Perniagaan pemilikan tunggal adalah sesuai bagi perniagaan kecil yang dimiliki dan diurus oleh seorang pemilik. 

AKTA PENDAFTARAN PERNIAGAAN 1956

Pemilikan tunggal adalah tertakluk kepada Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 yang ditadbirkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 mentakrifkan “perniagaan” sebagai setiap bentuk tred, perdagangan, pertukangan, pekerjaan, profesion atau aktiviti lain yang dijalankan bagi maksud mendapat keuntungan selain daripada apa-apa kerja yang dinyatakan di dalam Jadual (Seksyen 2) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956. Pemilikan tunggal perlu didaftarkan di dalam tempoh tidak lebih dari tiga puluh hari selepas perniagaan beroperasi.

 

PEMILIHAN NAMA PERNIAGAAN

Langkah pertama bagi penubuhan pemilikan tunggal adalah memilih nama perniagaan. Nama mempunyai peranan penting kerana ia mampu menonjolkan identiti  perniagaan.  

Perniagaan boleh didaftar dengan mengguna nama individu atau nama dagangan. Bagi nama dagangan, carian nama perlu dibuat terlebih dahulu untuk memastikan supaya nama yang dipilih belum lagi digunakan oleh perniagaan lain.

Jika nama individu digunakan, nama yang mengikut kad pengenalan perlu ditambah dengan perkataan “perniagaan”, “enterpris” atau sebagainya untuk membezakan nama individu dan nama perniagaan.

Nama dagangan pula boleh direka dan tertakluk kepada kelulusan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Permohonan nama akan ditolak jika nama itu telah didaftar oleh perniagaan lain atau dianggap sebagai tidak sesuai. Sebagai contoh, nama dagangan tidak boleh menyentuh atau melambangkan unsur-unsur keagamaan atau kepercayaan. Selain itu, nama yang menggunakan perkataan seperti “Yang DiPertuan Agong”, “Raja Permaisuri”, “Kerajaan”, “Jabatan”, “Pihak Berkuasa”, “Persatuan” dan “Koperasi” tidak boleh didaftar. 

Nama perniagaan yang telah diluluskan hanya sah selama tiga puluh hari dari tarikh kelulusan. Selepas tempoh itu, permohonan nama yang baru perlu dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

 

PENDAFTARAN PERNIAGAAN

Setelah mendapat kelulusan nama perniagaan, pendaftaran perniagaan boleh dibuat secara online di portal Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Dokumen yang diperlukan adalah

  • Borang Pendaftaran Perniagaan (Borang A) yang lengkap. 
  • Salinan kad pengenalan pemohon.
  • Yuran sebanyak RM 30.00 bagi perniagaan yang menggunakan nama sendiri atau yuran sebanyak RM 60.00 bagi perniagaan yang menggunakan nama dagangan.

 

SIJIL PERAKUAN PENDAFTARAN PERNIAGAAN

Setelah pendaftaran diluluskan, Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan (Borang D) akan dikeluarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Sijil Perakuan Pendaftaran harus dipamerkan di premis perniagaan manakala nombor Sijil Perakuan Pendaftaran pula perlu dicatat di atas kepala-surat, bil, resit, invois dan lain-lain dokumen perniagaan. 

Sekiranya kita membayar yuran untuk satu tahun, Sijil Perakuan Pendaftaran adalah sah untuk tempoh satu tahun sahaja dan perlu diperbaharui sebelum tamat tempoh sahlakunya dengan mengemukakan Borang Pembaharuan Pendaftaran Perniagaan (Borang A1) serta membayar yuran yang ditetapkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kegagalan memperbaharui pendaftaran perniagaan boleh dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau 2 tahun penjara atau kedua-duanya sekali. 

 

PERUBAHAN PERNIAGAAN

Perubahan kepada perniagaan perlu didaftarkan dengan mengemukakan borang yang tertentu serta yuran yang ditetapkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh berlaku perubahan. Dibawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, kegagalan untuk mendaftar perubahan perniagaan boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.

Borang yang perlu diisi adalah >

  • Borang B1 (bagi perubahan alamat utama perniagaan)
  • Borang B2 (bagi perubahan jenis perniagaan)
  • Borang B3 (bagi perubahan maklumat cawangan) atau
  • Borang B4 (bagi perubahan maklumat pemilik atau rakan kongsi)

PENAMATAN PERNIAGAAN

Untuk menamatkan perniagaan, BORANG C iaitu Notis Pendaftaran Penamatan Perniagaan perlu dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh penamatan. Penamatan operasi perniagaan tidak semestinya menandakan kegagalan perniagaan malah ia mungkin disebabkan oleh kejayaan perniagaan yang memerlukan pertukaran status kepada bentuk syarikat sdn bhd. 

 

CIRI PEMILIKAN TUNGGAL

Bagi pemilikan tunggal, pemilik dan perniagaan dianggap sebagai entiti yang sama. Ini bermakna bahawa segala kegiatan yang dijalankan oleh perniagaan dianggap sebagai kegiatan pemilik. Segala aset dan liabiliti perniagaan adalah juga aset dan liabiliti pemilik. Dengan itu, hutang perniagaan boleh dituntut dari pemilik melalui tindakan mahkamah di mana pemilik mungkin kehilangan segala aset peribadi untuk menyelesaikan hutang perniagaan.

KELEBIHAN PEMILIKAN TUNGGAL

Kelebihan Pemilikan Tunggal adalah

  • Penubuhan dan pendaftaran pemilikan tunggal adalah mudah dan murah.
  • Modal untuk memulakan perniagaan adalah kecil dan boleh dikumpulkan daripada keluarga, kawan atau kenalan.
  • Pengurusan perniagaan adalah mudah kerana pemilikan tunggal hanya mempunyai seorang pemilik. Keputusan perniagaan boleh dicapai dengan serta-merta dan saiz perniagaan yang kecil membolehkan perjalanan perniagaan dikawal dengan rapi.Pemilik tidak perlu melantik Setiausaha Syarikat.
  • Akaun perniagaan tidak perlu disediakan atau diaudit.
  • Pemilik boleh meraih keuntungan perniagaan dengan sepenuhnya tanpa berkongsi dengan pihak lain.
  • Kadar cukai pendapatan dikira atas kadar individu yang rendah berbanding dengan cukai korporat kerana segala keuntungan perniagaan dianggap sebagai pendapatan pemilik.

KELEMAHAN PEMILIKAN TUNGGAL

Kelemahan Pemilikan Tunggal adalah

  • Kepakaran pemilik yang terhad mungkin menyekat perkembangan perniagaan.
  • Sumber kewangan adalah terhad disebabkan kesukaran bagi pemilikan tunggal untuk mendapatkan pinjaman kewangan.
  • Kerugian perniagaan ditanggung sepenuhnya oleh pemilik. 
  • Tanggungan pemilik adalah tidak terhad yang bermakna bahawa pemilik terpaksa menanggung kerugian secara peribadi jika perniagaan mengalami kerugian. Harta peribadi pemilik juga boleh dituntut oleh pemiutang untuk menjelaskan hutang perniagaan.
  • Pengecualian cukai pendapatan bagi individu adalah terhad kepada hal peribadi dan keluarga dan tidak merangkumi perbelanjaan perniagaan yang boleh diambil kira di dalam taksiran cukai korporat.
  • Operasi perniagaan hanya boleh diteruskan selama hayat pemilik. Apabila pemilik meninggal dunia, operasi perniagaan di bawah nama pemilik dianggap tamat dan waris pemilik tidak boleh mengambil alih perniagaan secara automatik tetapi tertakluk kepada proses pembahagian harta pusaka.   

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.