Skip to main content

MENYEWA PREMIS PERNIAGAAN

Premis perniagaan yang sesuai dan strategik adalah perlu untuk menjalankan perniagaan. Faktor yang harus diambil kira dalam mengenalpasti premis yang sesuai termasuk jenis perniagaan dan keperluan perniagaan. Sebagai contoh, jenis perniagaan yang berbentuk peruncitan atau (retail) memerlukan ruang kedai di kompleks membeli-belah di mana terdapat ramai orang. Perniagaan yang berasaskan pembuatan pula perlu menyewa kilang atau lot industri.

Jenis perniagaan yang tertentu seperti kraftangan, jahitan, penyediaan produk makanan, perkhidmatan perunding dan sebagainya boleh dijalankan di premis kediaman. Konsep Home Office semakin digalakkan oleh kerajaan di mana lesen perniagaan akan diberi untuk perniagaan yang beroperasi dari premis kediaman tertakluk kepada syarat tertentu. 

 

SEMAKAN TENTANG TUANPUNYA PREMIS

Setelah mengenalpasti premis perniagaan yang hendak disewakan, semakan perlu dibuat untuk menentukan identiti tuanpunya premis. Langkah ini adalah penting bagi mengelak dari tertipu oleh pihak yang berpura-pura mengaku sebagai tuanpunya premis. 

Semakan boleh dibuat oleh ejen hartanah, peguam atau individu melalui proses carian di pejabat tanah yang berkuasa ke atas premis itu. 

 

PERJANJIAN SEWA

Perjanjian Sewa adalah perjanjian di antara tuanpunya premis dan penyewa yang mengandungi terma penyewaan. Terma penyewaan tidak tertakluk kepada mana-mana ketetapan tetapi bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak. 

Namun, tempoh sewa bagi Perjanjian Sewa tidak boleh melebihi 3 tahun kerana tempoh yang melebihi had ini dianggap sebagai pajakan yang memerlukan pendaftaran di bawah Kanun Tanah Negara.   

Terma standard di dalam Perjanjian Sewa termasuk>

  • Butir Tuanpunya dan Penyewa

Nama mengikut kad pengenalan, nombor kad pengenalan dan alamat (bagi individu) dan nama perniagaan, nombor pendaftaran dan alamat perniagaan atau alamat berdaftar (bagi perniagaan atau syarikat).

  • Butir Premis

Nombor rujukan dokumen hakmilik individu (sekiranya ada), alamat pos, jenis premis dan saiz premis.

  • Jumlah Sewa

Jumlah sewa bagi setiap bulan dan tarikh pembayaran. 

  • Tempoh Sewaan

Walaupun tempoh sewaan premis tidak boleh melebihi 3 tahun, kedua-dua pihak boleh bersetuju untuk melanjutkan tempoh sewaan selepas ia tamat. Penyewa boleh memasukkan syarat untuk melanjutkan tempoh sewa yang tertakluk kepada perjanjian baru yang perlu ditandatangani.

  • Deposit Sewa

Jumlah deposit yang perlu dibayar oleh penyewa selalunya bersamaan dengan jumlah sewa yang dibayar untuk 1, 2 atau 3 bulan. Walaubagaimanapun, jumlah deposit bergantung kepada budibicara tuanpunya premis. Pembayaran deposit memastikan supaya penyewa tidak melanggar syarat perjanjian terutama sekali tanggungjawabnya untuk membayar sewa. Deposit tidak boleh digunakan sebagai bayaran sewa dan akan dipulangkan sepenuhnya kepada penyewa pada akhir tempoh sewaan. Jika terdapat apa-apa bayaran yang tertunggak oleh penyewa, tuanpunya premis berhak untuk menolak bayaran yang tertunggak daripada deposit sewa.

  • Deposit Utiliti

Deposit utiliti dibayar oleh penyewa untuk memastikan pembayaran tepat oleh penyewa bagi bil elektrik, air dan talipon. 

  • Notis Penamatan 

Perjanjian boleh ditamatkan dengan memberi notis bertulis mengikut tempoh yang dipersetujui kecuali jika tempoh sewaan adalah tetap dan tidak boleh ditamatkan sebelum berakhirnya tempoh itu. 

 

DUTI SETEM 

Setelah Perjanjian Sewa ditandatangani oleh kedua-dua pihak, ia harus disetem dengan membayar duti setem yang ditetapkan oleh Akta Setem 1949.

Walaubagaimanapun, tiada duti setem dikenakan bagi nilai sewaan yang tidak melebihi RM 2,400 setahun. 

Mengikut Akta Setem 1949, Perjanjian Sewa yang nilai sewaannya melebihi RM 2,400 setahun adalah tertakluk kepada pengiraan duti setem seperti berikut>

  • Bagi tempoh sewaan selama setahun atau kurang, duti setem yang dikenakan adalah RM 1 bagi setiap RM 250 daripada nilai sewaan.
  • Bagi tempoh sewaan yang lebih dari setahun tetapi kurang dari 3 tahun, duti setem yang dikenakan adalah RM 2 bagi setiap RM 250  daripada nilai sewaan.

Duti setem yang penuh hendaklah dibayar bagi salinan asal perjanjian manakala salinan pendua hanya perlu disetemkan sebanyak RM 10. 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.