Skip to main content

BENTUK ENTITI PERNIAGAAN

Setiap bakal usahawan yang ingin menjalankan perniagaan perlu menubuh dan mendaftarkan organisasi perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Berniaga sebagai seorang individu tanpa mendaftarkan perniagaan adalah salah di sisi undang-undang dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM 50,000 atau penjara selama 2 tahun atau kedua-duanya sekali. 

Terdapat 4 bentuk entiti perniagaan yang boleh dipilih bergantung kepada jenis perniagaan dan rancangan perniagaan. Sebelum kita membuat pemilihan tersebut, kita perlu mengkaji bentuk entiti yang sesuai dengan jenis perniagaan dan rancangan perniagaan kita kerana terdapat perbezaan di antara ciri-ciri bentuk entiti perniagaan tersebut. 

 

PEMILIKAN TUNGGAL, PERKONGSIAN, PERKONGSIAN LIABILITI TERHAD DAN SYARIKAT SDN BHD

Empat bentuk perniagaan yang boleh kita pilih adalah pemilikan tunggal, perkongsian, perkongsian liabiliti terhad (PLT) dan syarikat sdn.bhd. Setiap bentuk perniagaan  mempunyai ciri tersendiri dari segi prosedur penubuhan, pengurusan, struktur dan liabiliti. Pemilihan bentuk entiti perniagaan yang sesuai dan tepat akan membantu perjalanan perniagaan yang lancar dan berjaya.

 

PERUBAHAN BENTUK PERNIAGAAN

Perniagaan yang bermula sebagai satu bentuk entiti boleh diubah kepada bentuk yang lain mengikut keadaan dan keperluan semasa perniagaan. Sebagai contoh, perniagaan kecil boleh didaftar sebagai pemilikan tunggal dahulu dan ditukar statusnya kemudian apabila berlaku perkembangan dan peningkatan di dalam perniagaan.

 

SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan pada 16 April 2002 di bawah Akta Suruhanjaya Syarikat Malaysia 2001. SSM bertanggungjawab bagi pendaftaran semua perniagaan dan syarikat di Malaysia.

Sebelum tahun 2002, fungsi SSM dikendalikan oleh Pejabat Pendaftar Perniagaan ataupun Registry of Business (ROB) dan Pejabat Pendaftar Syarikat ataupun Registry of Companies (ROC). Kini, SSM telah mengambil alih dan menyatukan fungsi kedua-dua ROB dan ROC untuk memudahkan urusan yang berkaitan dengan sektor korporat di Malaysia.

 

FUNGSI UTAMA SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA (SSM)

Fungsi utama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) termasuk

  • Mentadbir dan menguatkuasakan akta dan peraturan seperti Akta Syarikat 2016, Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat Amanah 1949 dan Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.
  • Memproses permohonan pemerbadanan syarikat dan pendaftaran perniagaan.
  • Menggalakkan amalan beretika di kalangan pengarah, setiausaha syarikat, pengurus dan kakitangan yang terlibat di dalam pengurusan syarikat dan perniagaan.
  • Menyediakan maklumat korporat dan perniagaan dan menjalankan kajian mengenainya.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.