HARTA INTELEK
Harta intelek terbahagi kepada 2 cabang. Cabang yang pertama adalah berkaitan dengan karya seni yang dilindungi oleh undang-undang hakcipta. Cabang yang kedua melibatkan harta perindustrian yang merangkumi paten, reka bentuk, perindustrian, cap dagangan, petunjuk geografi dan susun atur litar bersepadu.
Harta intelek adalah jenis harta yang berkait rapat dengan daya kreativiti seseorang samada di dalam karya seni ataupun ciptaan untuk perindustrian. Harta intelek boleh dibeli, dijual dan dipindahmilik untuk meraih pendapatan yang lumayan. Nilai komersialnya yang tinggi telah menghasilkan ramai usahawan yang bergelar jutawan. Namun begitu di mata pengguna di Malaysia, harta intelek masih lagi belum setanding dengan harta alih seperti kereta dan barang kemas atau harta tidak alih seperti hartanah. Ini mungkin kerana harta intelek adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan berkaitan dengan minda pencipta dan daya kreativiti yang sukar untuk dinilai.
Kegagalan dan keengganan pengguna menilai dan menghargai harta intelek terutama sekali bagi karya seni adalah punca jenayah cetak rompak yang berleluasa di Malaysia. Industri cetak rompak tidak akan menjadi industri yang bernilai berbilion ringgit jika masyarakat tidak menyokong aktiviti ini dengan membeli barangan cetak rompak. Pengguna perlu mengubah cara pemikiran tentang harta intelek supaya jenayah cetak rompak dapat dibanteras.
Sebagai contoh, jenayah cetak rompak sering berlaku di dalam industri muzik dan perfileman di Malaysia. Pengguna enggan membayar harga yang tinggi untuk membeli cakera padat atau video filem yang asli walaupun ia menampilkan penyanyi atau pelakon kesukaan mereka. Ini mungkin kerana pengguna gagal menghargai karya seni dan usaha pencipta lagu, penyusun muzik , pengarah filem, penulis skrip dan lirik, jurutera rakaman dan pelbagai profesional kreatif yang terlibat di dalam pembikinan album atau filem. Sebaliknya, pengguna meletakkan nilai album atau filem hanya kepada medium penghantarannya.
Aktiviti membanteras dan menghapuskan jenayah cetak rompak yang sedang dijalankan dengan aktif oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta program untuk mempertingkatkan kesedaran tentang harta intelek telah banyak mengubah tabiat dan daya pemikiran pengguna terhadap harta intelek.
Di Malaysia, kesedaran mengenai harta intelek telah bertambah selaras dengan pembangunan bidang teknologi maklumat dan penubuhan Koridor Raya Multimedia. Undang-undang baru yang merangkumi pelbagai jenis harta intelek telah digubal untuk melindungi pemilik harta intelek.
6 akta utama yang berkaitan dengan harta intelek adalah >
- Akta Hakcipta 1987 (Pindaan) 2022Β
- Akta Paten 1983 (Pindaan) 2022
- Akta Reka Bentuk Perindustrian 1996
- Akta Cap Dagangan 1976
- Akta Petunjuk Geografi 2000
- Akta Reka Bentuk Susun Atur Litar Bersepadu 2000
Undang-undang harta intelek melindungi pemilik harta intelek dan membolehkan mereka mengambil tindakan sekiranya berlaku pelanggaran hakmilik. Undang-undang harta intelek juga memberi persekitaran yang kondusif bagi perkembangan minda kreatif di dalam karya seni dan ciptaan perindustrian serta sekaligus menjamin supaya produk yang terdapat di pasaran adalah asli dan berkualiti tinggi.
Β Bagi perlindungan harta intelek di peringkat global, Malaysia menjadi ahli kepada perjanjian dan konvensyen antarabangsa seperti Konvensyen Berne 1986 yang menetapkan perlindungan hakcipta bagi ahlinya, Perjanjian TRIPs (Trade Related Aspects of Intellectual Properties Rights) 1994 yang merangkumi semua jenis harta intelek dan Konvensyen Paris 1883 yang berkaitan dengan paten, reka bentuk perindustrian dan cap dagangan.