Skip to main content

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN DAN HAK PEKERJA

Setiap perniagaan yang maju memerlukan pekerja untuk membantu menjalankan urusan perniagaan dengan lancar walaupun perniagaan itu mungkin perniagaan kecil. Sebagai contoh, pengusaha gerai nasi lemak juga perlu mengupah pekerja untuk menyedia, mengangkut atau menjual nasi lemak.

Pekerja yang komited adalah aset perniagaan yang penting terutama sekali bagi perniagaan yang berasaskan perkhidmatan. Dengan itu, majikan perlu sedar akan tanggungjawab mereka terhadap pekerja dan membina modal insan supaya perniagaan akan maju dengan lebih pesat.

Hubungan di antara majikan dan pekerja adalah hubungan kontraktual. Namun, hubungan kontraktual ini adalah tertakluk kepada syarat dan terma di dalam Akta Kerja 1955.

Walaubagaimanapun, Akta Kerja 1955 tidak terpakai bagi semua kategori pekerja. Kategori pekerja yang dilindungi oleh Akta Kerja 1955 adalah >

• Pekerja yang gajinya tidak melebihi RM 2000 sebulan.
• Semua pekerja di dalam bidang kerja manual termasuk sebagai tukang atau perantis tanpa mengambil kira gajinya.
• Semua pekerja yang mengendalikan kenderaan bagi mengangkut penumpang atau barangan untuk tujuan perdagangan.
• Semua pekerja yang mengawas atau menyelia pekerja lain di dalam melaksanakan kerja manual.
• Pembantu rumah.
• Semua pekerja yang bekerja di atas kapal yang berdaftar di Malaysia selain daripada pegawai yang bertauliah.

Bagi pekerja yang tidak termasuk di dalam kategori di atas, syarat kontrak perkhidmatan boleh dirunding dan dipersetujui di antara majikan dan pekerja.

 

KONTRAK PERKHIDMATAN vs KONTRAK UNTUK PERKHIDMATAN

Kontrak Perkhidmatan ditakrifkan oleh Akta Kerja 1955 sebagai mana-mana perjanjian, samada lisan atau bertulis dan samada nyata atau tersirat, yang mana seseorang bersetuju untuk mengambil bekerja seorang lain sebagai pekerja dan orang yang lain itu bersetuju untuk berkhidmat dengan majikannya sebagai pekerja dan termasuklah kontrak perantisan.

Kontrak untuk Perkhidmatan adalah kontrak di antara satu pihak dengan pihak lain yang bersetuju membekalkan perkhidmatan kepadanya. Pihak yang membekalkan perkhidmatan adalah kontraktor bebas dan bukannya pekerja kepada pihak yang mengupahnya.

Perbezaan di antara kontrak perkhidmatan dan kontrak untuk perkhidmatan adalah penting kerana ia menentukan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak terhadap satu sama lain. Kontrak untuk perkhidmatan tidak tertakluk kepada Akta Kerja 1955.

 

KONTRAK PERKHIDMATAN

Pada lazimnya, kontrak perkhidmatan di antara majikan dan pekerja adalah di dalam bentuk Surat Perlantikan Pekerja yang diberikan oleh majikan kepada bakal pekerja sebelum ia memulakan pekerjaan. Kontrak perkhidmatan wujud apabila pekerja menerima terma dan syarat yang dinyatakan di dalam Surat Perlantikan.

Syarat yang perlu dimasukkan di dalam kontrak perkhidmatan adalah>

• Nama majikan, nombor pendaftaran perniagaan atau syarikat dan alamat.
• Nama pekerja, nombor kad pengenalan dan alamat.
• Butir pekerjaan atau jawatan.
• Kadar upah atau gaji.
• Tempoh pembayaran upah atau gaji.
• Tempoh percubaan.
• Elaun atau manfaat yang diberi.
• Jumlah masa kerja yang dipersetujui dalam sehari.
• Tempoh bagi Notis Penamatan Pekerjaan atau nilai gaji sebagai ganti.
• Jumlah hari bagi cuti tahunan.
• Kadar bagi kerja lebih masa.

Kontrak perkhidmatan tidak boleh memperuntukkan terma atau syarat perkhidmatan yang kurang memberi faedah kepada pekerja daripada yang ditetapkan oleh Akta Kerja 1955 tetapi apa-apa terma atau syarat yang lebih memberi faedah kepada pekerja adalah dibenarkan. Perkara yang tidak diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955 boleh dimasukkan di dalam kontrak perkhidmatan atau dirundingkan di antara majikan dan pekerja.

 

GAJI MINIMA

Semenjak 1 Mei 2022, gaji minimum bagi pekerja telah dinaikkan dari RM 1200 ke RM 1500. Namun kerajaan telah mengambil keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan kuatkuasa gaji minima RM 1500 dari 1 Januari 2023 sehingga 1 Julai 2023 untuk kategori majikan yang menggajikan pekerja kurang dari 5 orang.

 

TEMPOH PERCUBAAN

Tempoh Percubaan (probationary period) merujuk kepada tempoh percubaan sesuatu pekerjaan sebelum kedudukan dan jawatan pekerja disahkan. Majikan yang memilih untuk memberi Tempoh Percubaan boleh meletakkan tempoh selama 1 hingga 6 bulan bergantung kepada jawatan dan jenis pekerjaan. Pada akhir Tempoh Percubaan, majikan yang berpuashati dengan prestasi pekerja boleh mengesahkan pekerja di dalam jawatan itu secara bertulis. Jika tidak, majikan boleh melanjutkan tempoh percubaan atau menamatkan kontrak perkhidmatan sebelum akhirnya tempoh percubaan dengan memberi notis.

 

TEMPOH PENGGAJIAN

Tempoh penggajian seorang pekerja mestilah tidak melebihi 1 bulan yang bermaksud bahawa pekerja mesti dibayar gaji sekurang-kurangnya sekali dalam masa 1 bulan. Walaubagaimanapun, tempoh penggajian ini boleh dikurangkan oleh majikan kepada tempoh yang lebih singkat dari 1 bulan yang bermaksud bahawa pekerja boleh dibayar gaji setiap minggu, setiap dua minggu dan seterusnya asalkan tempoh ini tidak melebihi satu bulan.

Di bawah Akta Kerja 1955, majikan mesti membayar gaji kepada pekerja tidak lewat dari 7 hari selepas tamat tempoh penggajian.

 

BONUS

Bonus adalah bayaran penghargaan yang diberikan oleh majikan kepada pekerja bergantung kepada keuntungan syarikat dan prestasi pekerja.

Pembayaran bonus adalah tertakluk kepada budibicara majikan. Pekerja tidak berhak untuk memaksa majikan membayar bonus kecuali jika bonus telah dijanjikan oleh majikan di dalam kontrak perkhidmatan.

 

KENAIKAN GAJI DAN KENAIKAN PANGKAT

Kenaikan gaji dan kenaikan pangkat pekerja adalah hak eksklusif majikan dan bergantung kepada budibicara majikan.

 

PENAMATAN KONTRAK PERKHIDMATAN

Pihak yang ingin menamatkan kontrak perkhidmatan boleh memberi notis bertulis kepada pihak yang lain. Tempoh notis penamatan kontrak hendaklah sama bagi kedua-dua majikan dan pekerja.

Jika tempoh notis penamatan kontrak tidak dinyatakan di dalam kontrak perkhidmatan, peruntukan di dalam Akta Kerja 1955 berkenaan dengan tempoh notis penamatan akan terpakai iaitu >

• Tempoh notis sekurang-kurangnya 4 minggu bagi tempoh perkhidmatan yang kurang dari 2 tahun.
• Tempoh notis sekurang-kurangnya 6 minggu bagi tempoh perkhidmatan selama 2 hingga 5 tahun.
• Tempoh notis sekurang-kurangnya 8 minggu bagi tempoh perkhidmatan yang lebih dari 5 tahun.

Pihak yang menamatkan kontrak tanpa memberi notis seperti yang ditetapkan harus membayar kepada pihak yang satu lagi kerugian yang bersamaan dengan jumlah gaji pekerja yang berhenti atau diberhentikan selama tempoh notis yang ditetapkan.

 

PEKERJA ASING

Pekerja asing adalah pekerja yang bukan warganegara Malaysia atau tidak mempunyai status penduduk tetap Malaysia. Pekerja asing tidak boleh diambil bekerja di Malaysia di dalam apa-apa bidang melainkan permit kerja yang sah telah diperolehi. Permit kerja adalah sah untuk tempoh yang terhad dan harus diperbaharui setelah tamat tempoh sah laku.

Akta Kerja 1955 menetapkan terma dan syarat yang mengawalselia hubungan kontrak di antara majikan dan pekerja termasuk menghuraikan tanggungjawab majikan dan hak pekerja.

Akta Kerja 1955 merangkumi pelbagai perkara seperti daftar kerja, kontrak perkhidmatan, masa kerja, cuti, pembayaran gaji, kadar bagi kerja lebih masa, notis penamatan kontrak dan sebagainya.

 

DAFTAR KERJA

Setiap perniagaan yang mengambil pekerja atau bercadang untuk mengambil pekerja perlu memberi notis bertulis kepada pejabat Pengarah Buruh yang terdekat dalam tempoh sembilan puluh hari dari tarikh permulaan operasi dengan memberi maklumat perniagaan dan pekerja.

Setiap majikan juga mesti menyimpan daftar pekerja yang mengandungi butir lengkap pekerja bagi tempoh tidak kurang dari 6 tahun.

 

MASA KERJA

Akta Kerja 1955 menetapkan bahawa jumlah maksima jam kerja yang dibenarkan adalah >

• 5 jam berturut-turut dengan waktu rehat selama sekurang-kurangnya 30 minit atau
• 8 jam sehari atau
• Meliputi tempoh yang tidak melebihi 10 jam sehari atau
• 48 jam seminggu.

 

KERJA LEBIH MASA

Kerja lebih masa (overtime) ditakrifkan sebagai jumlah jam berlebihan selepas waktu kerja biasa dalam sehari. Seorang pekerja dibenarkan bekerja lebih masa sehingga satu ratus empat jam dalam sebulan tetapi tidak termasuk kerja lebih masa pada hari rehat atau cuti umum. Kadar bayaran bagi kerja lebih masa adalah sekurang-kurangnya satu setengah kali kadar gaji mengikut jam.

Jika pekerja dikehendaki bekerja pada hari cuti umum, kadar bayarannya adalah 3 kali ganda kadar gaji mengikut jam.

 

JENIS CUTI YANG DIBENARKAN

Jenis cuti yang dibenarkan di bawah Akta Kerja 1955 adalah >>

• Cuti rehat
• Cuti umum
• Cuti sakit
• Cuti bersalin
• Cuti tahunan

Cuti rehat adalah cuti yang dibenarkan kepada pekerja selama 1 hari penuh dalam setiap minggu, yang lazimnya jatuh pada hari Ahad atau Jumaat, mengikut negeri di mana tempat kerja itu berada.

Cuti umum adalah cuti yang diisytiharkan oleh kerajaan sebagai cuti umum dan diwartakan seperti Hari Raya Puasa, Tahun Baru Cina, Hari Pekerja, Hari Kebangsaan dan sebagainya.

Cuti sakit adalah cuti yang dibenarkan kepada pekerja jika pekerja mendapat sijil sakit daripada pengamal perubatan ataupun pekerja telah memaklumkan atau cuba memaklumkan kepada majikan tentang cuti sakit dalam tempoh empat puluh lapan jam sejak pekerja itu sakit.

Walaubagaimanapun, Akta Kerja 1955 mengenakan had ke atas jumlah cuti sakit yang berbayar seperti berikut>

  • Enam belas (16) hari cuti sakit di dalam 1 tahun bagi tempoh perkhidmatan yang kurang dari 2 tahun.
  • Lapan belas (18) hari cuti sakit di dalam 1 tahun bagi tempoh perkhidmatan di antara 2 hingga 5 tahun.
  • Dua puluh dua (22) hari cuti sakit di dalam 1 tahun bagi tempoh perkhidmatan yang lebih dari 5 tahun.

Jika pekerja dimasukkan ke hospital, jumlah hari cuti sakit berbayar boleh dipanjangkan sehingga enam puluh hari dalam 1 tahun. Kos perubatan pekerja bagi setiap lawatan ke klinik selalunya ditanggung oleh majikan walaupun tiada peruntukan mengenainya di dalam Akta Kerja 1995. Namun, kos perubatan yang dibiayai oleh majikan selalunya tidak termasuk kos perubatan pakar.

Cuti bersalin yang layak diambil oleh pekerja wanita yang bersalin adalah selama sembilan puluh lapan (98) hari berturut-turut. Tempoh ini dikira termasuk hari rehat dan cuti umum yang jatuh di dalam tempoh itu. Pekerja wanita yang layak mendapat cuti bersalin perlu bekerja dengan majikan bagi tempoh sekurang-kurangnya sembilan puluh hari sebelum tarikh cuti bersalin. Cuti paterniti lelaki pula adalah selama tujuh hari bagi membolehkan suami memainkan peranan sebagai bapa yang bertanggungjawab selepas isteri melahirkan anak.

Cuti tahunan yang layak di ambil oleh pekerja menurut Akta Kerja 1955 ialah >

  • Lapan (8) hari bagi tempoh perkhidmatan yang melebihi 1 tahun tetapi kurang dari 2 tahun.
  • Dua belas (12) hari bagi tempoh perkhidmatan di antara 2 hingga 5 tahun.
  • Enam belas (16) hari bagi tempoh perkhidmatan yang melebihi 5 tahun.

Pekerja yang menamatkan perkhidmatannya sebelum berakhirnya 1 tahun layak mendapat cuti tahunan yang dikira secara pro-rata iaitu mengikut jumlah bulan ia bekerja di dalam tahun itu.

 

CARUMAN KWSP DAN PERKESO

Semua majikan dan pekerja wajib mencarum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Akta KWSP 1991 menetapkan supaya majikan membayar kadar 13% dan pekerja membayar kadar 11% yang dikira dari jumlah gaji bulanan pekerja. Walaubagaimanapun, di dalam keadaan tertentu seperti semasa pandemik covid-19, pekerja diberikan kelonggaran untuk memilih kadar caruman yang lebih rendah supaya tidak membebankan pekerja.

Bagi caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO), Akta PERKESO (Pindaan) 1992 memperuntukkan bahawa semua pekerja yang menerima gaji sehingga RM3000 sebulan dikehendaki mencarum kepada PERKESO. Majikan dan pekerja juga perlu membuat caruman di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.