Skip to main content

SYARIKAT SENDIRIAN BERHAD (SDN BHD)

Syarikat sendirian berhad ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016. Walaupun penubuhan dan pengurusan syarikat adalah lebih rumit dan melibatkan kos yang lebih tinggi, bentuk perniagaan ini mempunyai beberapa kelebihan jika dibandingkan dengan pemilikan tunggal dan perkongsian.

Syarikat adalah perbadanan yang mempunyai identiti undang-undang yang tersendiri. Sebagai entiti undang-undang, syarikat mempunyai hak dan kewajipan yang berasingan dari pemegang sahamnya. Ini bermakna bahawa aktiviti dan kegiatan syarikat tidak boleh dianggap sebagai aktiviti dan kegiatan pemegang saham. Dalam erti kata lain, syarikat adalah seperti manusia yang layak menyempurnakan kontrak, meminjam wang, memiliki harta, membuat pendakwaan dan sebagainya.

Bagi syarikat sendirian berhad, liabiliti pemegang saham adalah terhad setakat jumlah nilai saham yang belum berbayar. Jika semua pegangan saham telah dibayar, pemegang saham tidak lagi mempunyai apa-apa liabiliti.

Syarikat sendirian berhad yang mempunyai perkataan “sendirian berhad” atau singkatannya “sdn. bhd.” di penghujung nama syarikat dimiliki oleh sekumpulan orang perseorangan yang selalunya mempunyai kaitan sesama mereka seperti ahli keluarga, sahabat, kenalan atau rakan niaga. Jumlah minima ahli syarikat iaitu pemegang saham adalah seorang dan jumlah maksimanya adalah 50 orang. Hak pemegang saham untuk memindah milikkan saham adalah terhad. Syarikat sendirian berhad juga tidak boleh mempelawa orang awam untuk membeli saham atau debentur syarikat.

Terdapat beberapa pembaharuan mengenai syarikat sdn. bhd. di dalam Akta Syarikat 2016 jika dibandingkan dengan Akta Syarikat 1965. Antara lain, jumlah pemegang saham dan pengarah telah dikurangkan daripada 2 orang kepada hanya seorang sahaja. Penubuhannya juga telah dimudahkan di mana syarikat sdn.bhd. boleh ditubuhkan menggunakan “Superform” atas talian tanpa memerlukan khidmat setiausaha syarikat yang hanya perlu dilantik 30 hari selepas penubuhan syarikat. Dari segi pengurusan pula, syarikat tidak lagi diharuskan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan. Syarikat juga tidak perlu menyediakan Memorandum, Artikel dan Perlembagaan Syarikat. Modal dibenarkan dan par-value bagi saham juga telah dimansuhkan.

 

Kelebihan syarikat sdn. bhd. >

  • Syarikat merupakan entiti undang-undang yang tersendiri dan terasing daripada pemilik syarikat iaitu pemegang saham. Ciri ini membolehkan syarikat menjalankan tindakan di atas nama syarikat sendiri seperti menandatangani perjanjian, memiliki harta dan membuat dakwaan atau didakwa di mahkamah.
  • Setiap pemegang saham mempunyai tanggungan yang terhad iaitu jika berlaku kerugian di dalam syarikat, kerugian hanya boleh dituntut daripada pemegang saham setakat jumlah modal yang belum berbayar sahaja. Ini bermakna bahawa harta peribadi pemegang saham tidak boleh dituntut untuk membayar hutang syarikat.
  • Syarikat mampu mengumpulkan modal yang besar kerana syarikat lebih mudah mendapatkan pinjaman besar daripada institusi kewangan jika dibandingkan dengan pemilikan tunggal atau perkongsian. Syarikat juga boleh mengumpul dana dengan mengeluarkan saham baru.
  • Operasi syarikat boleh berterusan selama-lamanya dan tidak bergantung kepada hayat pemegang saham kerana kedua-duanya adalah entiti yang asing dari segi undang-undang.

  

Kelemahan syarikat sdn. bhd. >

  • Prosedur penubuhan syarikat adalah rumit dan mahal jika dibandingkan dengan pemilikan tunggal, perkongsian dan perkongsian liabiliti terhad (PLT). 
  • Pengurusan dan aktiviti syarikat adalah tertakluk dan dikawal ketat di bawah Akta Syarikat 2016. 
  • Syarikat perlu melantik pengarah, setiausaha syarikat dan juruaudit.
  • Pengurusan syarikat diserahkan kepada pengurus syarikat yang kadangkala membuat keputusan tanpa memikirkan kepentingan pemegang saham.
  • Syarikat perlu menyedia dan mengemukakan akaun tahunan yang diaudit pada tempoh yang tetap setiap tahun kepada SSM.
  • Syarikat adalah tertakluk kepada cukai korporat yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan cukai individu yang dibayar oleh pemilikan tunggal dan perkongsian.

 

PENGARAH SYARIKAT

Walaupun syarikat mempunyai entiti undang-undang yang tersendiri, ia memerlukan manusia sebenar (natural persons) bagi membolehkan ia melaksanakan urusan. Halatuju syarikat biasanya ditetapkan oleh pengarah yang dilantik oleh pemegang saham. Bilangan minima pengarah adalah seorang dan bilangan maksima tidak terhad.

Pengarah yang dilantik mestilah individu yang telah mencapai usia 18 tahun dan sempurna akal. Individu yang muflis atau yang pernah menjadi pengarah kepada sesebuah syarikat yang digulung dalam keadaan di mana syarikat itu tidak mampu membayar hutang atau yang disabitkan kesalahan tertentu tidak layak menjadi pengarah.

 

SETIAUSAHA SYARIKAT

Setiap syarikat perlu melantik sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat bagi memastikan segala dokumen syarikat disediakan dan difailkan mengikut Akta Syarikat 2016. Setiausaha syarikat harus memiliki lesen setiausaha yang dikeluarkan oleh Pendaftar Syarikat ataupun menjadi ahli badan profesional seperti Malaysian Association of Institute of Chartered Secretaries and Administrators (MAICSA), Malaysian Association of Certified Public Accountants (MACPA), Malaysian Institute of Accountants (MIA), Malaysian Bar Council atau sebagainya.

Setiausaha syarikat mempunyai peranan yang penting dan dilantik oleh Lembaga Pengarah. Antara tugas dan tanggungjawab setiausaha syarikat adalah untuk memastikan syarikat mematuhi segala peruntukan yang ditetapkan oleh Akta Syarikat 2016.

 

JURUAUDIT

Setiap syarikat mesti melantik juruaudit daripada ahli badan akauntan di Malaysia atau badan profesional lain yang disebut di bawah Akta Akauntan 1967. Fungsi utama juruaudit adalah untuk mengesahkan ketepatan akaun syarikat dan membuat laporan kepada Lembaga Pengarah berkaitan dengan akaun syarikat yang perlu dikemukakan kepada SSM setiap tahun.  

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.