Skip to main content

SEWA BELI

Pembelian aset perniagaan seperti peralatan dan perabot pejabat melibatkan kos yang tinggi jika ianya dibeli sekaligus secara tunai. Sewa beli adalah kemudahan kredit yang membantu perniagaan memiliki aset perniagaan dengan membenarkan usahawan membayar secara ansuran. Namun, hanya barangan yang tertentu boleh dibeli secara sewa beli.

 

KONSEP SEWA BELI

Konsep sewa beli adalah unik kerana ia merupakan transaksi 3 segi yang menggabungkan 3 pihak iaitu penjual barangan, institusi kewangan dan pembeli. Penjual menjual barangan yang ingin dibeli oleh pembeli kepada institusi kewangan. Sebagai pemilik, institusi kewangan kemudiannya menyewa beli barangan kepada pembeli yang membayar harga barangan kepada institusi  kewangan secara ansuran dalam tempoh yang ditetapkan. 

Institusi kewangan dianggap sebagai pemilik manakala pembeli dianggap sebagai penyewa barangan sehingga bayaran ansuran selesai dibayar. Setelah selesai pembayaran, hakmilik barangan akan berpindah kepada pembeli. 

Hubungan di antara institusi kewangan dan pembeli diwujudkan di dalam kontrak sewa beli di mana institusi kewangan dipanggil pemilik dan pembeli dipanggil penyewa. 

 

AKTA SEWA BELI 1967

Di Malaysia, transaksi sewa beli di kawal selia oleh Akta Sewa Beli 1967 yang mengandungi terma dan syarat bagi kontrak sewa beli. Barangan yang boleh disewa beli adalah tersenarai di dalam Jadual Pertama Akta Sewa Beli 1967.

Antara barangan yang boleh disewa beli adalah :

  1. Semua barang pengguna yang diperoleh untuk kegunaan peribadi, keluarga atau isi rumah.
  2. Kenderaan bermotor seperti bas, motorsikal, motorkar, teksi, kenderaan barang dan kenderaan orang sakit.

 

3 PERINGKAT DI DALAM SEWA BELI

Untuk melindungi hak penyewa, pembentukan perjanjian sewa beli dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu >

Peringkat Pertama

Rundingan di antara institusi kewangan dan penyewa di mana institusi kewangan perlu memberi pernyataan bertulis yang terperinci kepada penyewa tentang obligasi kewangan penyewa di bawah perjanjian sewa beli yang bakal ditandatangani. Penyewa harus mengesahkan penerimaan pernyataan ini.

Peringkat Kedua

Penyempurnaan perjanjian sewa beli di mana kontrak sewa beli mesti dibuat secara bertulis dengan saiz tulisan atau cetakan yang tidak kurang daripada 10 poin Times New Roman supaya penyewa dapat membacanya dengan jelas. Kontrak sewa beli harus meliputi >

  • Tarikh bermula sewaan.
  • Bilangan ansuran yang dipersetujui.
  • Jumlah setiap ansuran.
  • Tempoh ansuran.
  • Tempat dan masa bayaran.
  • Perihal barangan yang disewa beli.
  • Alamat dimana barangan berada.

Peringkat Ketiga

Tempoh selepas perjanjian di mana institusi kewangan perlu menyerahkan salinan perjanjian sewa beli kepada penyewa dalam masa empat belas hari selepas perjanjian ditandatangani.

 

MENANDATANGANI PERJANJIAN YANG BELUM LENGKAP DIISI

Walaupun terdapat amalan biasa di mana penyewa menandatangani perjanjian sewa beli yang belum lengkap, namun amalan ini ditegah di bawah undang-undang. Penggubalan Seksyen 4BA Akta Sewa Beli 1967 memperuntukkan bahawa perjanjian sewa beli harus diisi dengan lengkap sebelum ia ditandatangani oleh penyewa. Kegagalan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan perjanjian sewa beli terbatal.

Jika terdapat lebih dari satu barangan yang disewa beli, setiap barangan harus mempunyai perjanjian sewa beli yang berasingan. 

 

HAK PENYEWA

Penyewa mempunyai hak di bawah perjanjian sewa beli yang termasuk hak untuk >

  • Mendapat maklumat lengkap tentang status pembayaran sepanjang tempoh penyewaan seperti jumlah yang telah dibayar dan baki yang belum dibayar.
  • Memohon untuk memindah barangan sewa beli ke tempat simpanan yang lain.
  • Menyerah hak sewaan barangan kepada pihak lain dengan kebenaran institusi  kewangan.
  • Membuat bayaran penuh sebelum tamat tempoh penyewaan.
  • Mengagih pembayaran ansuran kepada perjanjian sewa beli yang lain jika penyewa mempunyai lebih dari satu perjanjian sewa beli dengan institusi kewangan yang sama.

  

PENAMATAN PERJANJIAN

Perjanjian sewa beli akan tamat apabila penyewa membayar segala ansuran kepada institusi kewangan di dalam tempoh penyewaan ataupun membayar segala bayaran yang tertunggak lebih awal sebelum tamat tempoh penyewaan. Apabila segala bayaran telah selesai, institusi kewangan harus memberi hakmilik barangan kepada penyewa.

 

PENGAMBILAN SEMULA MILIKAN BARANGAN

Institusi kewangan boleh mengambil semula barangan dari penyewa jika penyewa gagal membayar ansuran selama 2 bulan berturut-turut atau gagal membayar ansuran terakhir. 

Sebelum pengambilan semula barangan, institusi kewangan harus menghantar notis bertulis kepada penyewa seperti format yang terdapat di dalam Jadual Keempat Akta Sewa Beli 1967. Notis ini memberi penyewa dua puluh satu hari dari tarikh penyerahan notis untuk menjelaskan pembayaran. Jika penyewa gagal membayar, institusi kewangan berhak mengambil semula milikan barangan.

Setelah pengambilan semula berlaku, institusi kewangan perlu menghantar notis bertulis kepada penyewa sekali lagi tetapi kali ini di dalam format yang terdapat di dalam Jadual Kelima Akta Sewa Beli 1967. 

Institusi kewangan tidak dibenarkan menjual atau melupuskan barangan sebelum tamat tempoh dua puluh satu hari dari tarikh penyerahan notis kedua itu kepada penyewa. Jika penyewa menyelesaikan segala pembayaran yang tertunggak dan juga kos pengambilan semula seperti yang tercatit di dalam notis itu, institusi kewangan harus memulangkan barangan itu kembali kepada penyewa.

Jika penyewa meninggal dunia atau menjadi bankrap semasa tempoh perjanjian sewa beli, hak serta hakmilik dan kepentingan penyewa boleh berpindah dengan kuatkuasa undang-undang kepada wakil perseorangan penyewa. Wakil perseorangan itu akan terikat dengan peruntukan yang terkandung dalam perjanjian sewa beli yang berkenaan.

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.