Skip to main content

JUALAN LANGSUNG

Jualan langsung adalah cara perniagaan yang semakin popular. Pasaran bertingkat atau MLM (multi-level marketing) mampu menarik minat ramai usahawan kerana ia menjanjikan keuntungan yang lumayan dan peluang untuk menjadi jutawan MLM.

Perniagaan jualan langsung adalah cara perniagaan yang berkembang pesat di masa kini walaupun sebenarnya cara perniagaan ini telah lama dipraktikkan. Produk jualan langsung seperti Amway, Shaklee, NuSkin, Tupperware, Avon dan sebagainya telah kukuh di pasaran sekian lama. 

Perniagaan jualan langsung telah berkembang menjadi lebih canggih dari segi produk dan kaedah pemasaran dan jualan. Produk jualan langsung yang terbukti kejayaannya termasuk kosmetik, barang kemas, penapis air, skim percutian, ensaiklopedia, perkakas rumah, makanan, pakaian, vitamin, aksesori kereta dan sebagainya. 

 

JUALAN BIASA vs JUALAN LANGSUNG

Secara umumnya, terdapat beberapa perbezaan ketara di antara kaedah jualan biasa dan jualan langsung.

Bagi jualan biasa, barangan ditempatkan di kedai di mana urusan jualan berlaku. Deskripsi barangan tercatat di label bungkusan dan pembeli bebas membuat pilihan untuk membeli tanpa pengaruh dari pihak lain.

Bagi jualan langsung, urusan jualan tidak berlaku di tempat yang tetap atau spesifik. Penjual berkunjung dari tempat ke tempat untuk menarik bakal pembeli dan urusan jualan boleh berlaku di rumah atau pejabat pembeli. Penjual memperkenalkan barangan kepada pembeli dan seterusnya menerangkan deskripsi barangan. Penjual juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap keputusan pembeli untuk membeli barangan.

 

DEFINISI JUALAN LANGSUNG

Di Malaysia, aktiviti jualan langsung dikawal selia oleh Akta Jualan Langsung Dan Skim Piramid 1993. Definisi jualan langsung di dalam Akta Jualan Langsung Dan Skim Piramid 1993 adalah jualan dari pintu ke pintu dan jualan pesanan pos.  

Jualan dari pintu ke pintu ditakrifkan sebagai jualan barangan atau perkhidmatan yang berlaku apabila seseorang berkunjung dari satu tempat ke satu tempat selain dari tempat perniagaan yang tetap ataupun melalui talipon untuk mencari pembeli.

Jualan pesanan pos pula ditakrifkan sebagai jualan barangan atau perkhidmatan di mana tawaran bagi kontrak jualan diberikan oleh pembeli melalui pos.

Bagi jualan langsung, penjual harus menghubungi pembeli dan bukan sebaliknya. Namun begitu, terdapat juga kontrak jualan langsung di mana pembeli menghubungi penjual setelah mendapat maklumat tentang barangan melalui pos, siaran televisyen atau internet. Contoh jualan langsung seperti ini adalah rancangan yang disiarkan di kaca televisyen dan brosur barangan yang diedarkan oleh syarikat kad kredit kepada ahli.  

Jualan langsung yang berlaku apabila pembeli menghubungi penjual masih dianggap kontrak jualan langsung tetapi ianya tidak tertakluk kepada bidang kuasa Akta Jualan Langsung Dan Skim Piramid 1993. Di dalam situasi ini, kontrak itu akan tertakluk kepada Akta Kontrak 1950, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Perihal Dagangan 1972.

 

SYARAT JUALAN LANGSUNG

Terdapat 2 syarat bagi perniagaan jualan langsung >

  • Aktiviti ini mesti dijalankan oleh sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965.
  • Syarikat harus mendapat lesen jualan langsung yang sah. 

 

ETIKA PENJUAL

Di dalam aktiviti jualan langsung, penjual barangan sering menggunakan pelbagai taktik untuk melariskan barangan. Adakalanya taktik yang digunakan tidak jujur atau beretika. Sebagai contoh, terdapat penjual yang menyatakan tujuan yang berbeza supaya ia dijemput masuk ke rumah pembeli dan terdapat juga penjual yang mendesak pembeli secara agresif sehingga pembeli terpaksa membeli untuk menghentikan desakan dan gangguan dari penjual. 

Keadaan ini tidak seharusnya berlaku kerana etika penjual bagi jualan langsung telahpun ditetapkan oleh undang-undang.  Kod etika penjual termasuk >

  • Penjual hanya boleh berkunjung ke rumah pembeli pada hari bekerja dari jam 9 pagi hingga 7 malam kecuali temujanji telah dibuat terlebih dahulu.
  • Penjual harus menyatakan tujuan sebenar kunjungan kepada tuan rumah.
  • Penjual harus meninggalkan premis apabila dikehendaki oleh tuan rumah.
  • Penjual harus menunjukkan kad pengenalan dan kad kebenarannya sebagai penjual yang sah.

 

KONTRAK JUALAN LANGSUNG

Kontrak jualan langsung harus memenuhi syarat yang berikut >

  • Kontrak harus bertulis.
  • Kontrak perlu mengandungi pernyataan bahawa KONTRAK INI ADALAH TERTAKLUK KEPADA TEMPOH BERTENANG SELAMA SEPULUH HARI KERJA.
  • Kontrak mesti ditandatangani oleh penjual dan pembelian.
  • Salinan pendua kontrak harus diberi kepada pembeli selepas sahaja perjanjian ditandatangani.

Pelanggaran 3 syarat pertama di atas boleh menyebabkan kontrak jualan langsung itu terbatal manakala pelanggaran syarat yang terakhir memberi pembeli pilihan untuk membatalkan kontrak.

    

KANDUNGAN KONTRAK JUALAN LANGSUNG

Kontrak jualan langsung perlu mangandungi butir seperti berikut >

  • Deskripsi barangan.
  • Harga barangan.
  • Masa, tempat dan cara pembayaran.
  • Masa dan tempat barangan diserahkan.
  • Notis kepada pembeli tentang hak untuk membatalkan kontrak sebelum tamat tempoh bertenang.

 

TEMPOH BERTENANG (COOLING-OFF PERIOD)

Setiap kontrak jualan langsung perlu untuk menyatakan dengan jelas bahawa kontrak itu tertakluk kepada tempoh bertenang selama 10 hari kerja yang tidak termasuk hari rehat dan cuti umum. Pernyataan ini harus dicetak sebelum ruang tandatangan pembeli dengan menggunakan saiz tidak kurang daripada 18 poin Times untuk memastikan bahawa pembeli sedar tentang haknya untuk membatalkan kontrak.

Tempoh bertenang memberi peluang kepada pembeli untuk bertukar fikiran dan membatalkan kontrak sekiranya pembeli tidak lagi berminat untuk meneruskan kontrak atas apa-apa sebab sekalipun. Pembatalan kontrak boleh dibuat pada bila-bila masa di dalam tempoh bertenang. Semasa tempoh bertenang, penjual juga dilarang menyerahkan barangan atau melaksanakan perkhidmatan manakala pembeli pula dilarang membuat bayaran.

Namun begitu, pembeli yang membuat keputusan untuk terus membeli barangan boleh memendekkan tempoh bertenang kepada 3 hari bekerja. Di dalam keadaan ini, pembeli boleh memberi notis bertulis kepada penjual supaya menyerahkan barangan selepas tamat 3 hari bekerja tetapi tidak awal daripada itu. Setelah notis dihantar, pembeli akan dianggap sebagai mengenepikan haknya untuk membatalkan kontrak.

 

PEMBATALAN KONTRAK SEMASA TEMPOH BERTENANG

Pembeli yang ingin membatalkan kontrak di dalam tempoh bertenang harus menghantar notis penamatan melalui pos berdaftar atau dengan tangan kepada penjual di dalam format yang ternyata di dalam Bahagian V Peraturan Jualan Langsung Dan Skim Anti Piramid 1993. Setelah notis penamatan diberikan, selepas tiga hari, kontrak akan dianggap tamat atas persetujuan bersama dan tidak pernah berkuatkuasa.

 

KESALAHAN DI BAWAH AKTA JUALAN LANGSUNG 1993

Pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Jualan Langsung Dan Skim Piramid 1993 boleh dikenakan denda tidak melebihi satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya dia boleh didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Manakala, mana-mana pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan yang melakukan kesalahan di bawah Akta ini pula boleh didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit, dan bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya ia boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.