JUALAN BARANGAN
Aktiviti jualan barangan adalah aktiviti asas setiap perniagaan bagi menjana keuntungan. Penjualan barangan mewujudkan hubungan kontrak di antara penjual dan pembeli walaupun mungkin tiada kontrak jualan barangan yang spesifik dan bertulis yang ditandatangani dan dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Jika tiada kontrak jualan barangan yang nyata di antara kedua-dua pihak, urusan jualan barangan adalah tertakluk kepada Akta Jualan Barangan 1957 yang mengandungi terma dan syarat mengenai urusan jualan barangan.
Selain daripada Akta Jualan Barangan 1957, Akta Kontrak 1950 juga turut digunapakai kerana jualan barangan merupakan satu cabang kontrak. Sekiranya terdapat percanggahan di antara peruntukan yang terkandung di dalam Akta Kontrak 1950 dan Akta Jualan Barangan 1957, peruntukan di dalam Akta Jualan Barangan 1957 akan diberi keutamaan.
KONTRAK JUALAN BARANGAN
Definisi kontrak jualan barangan adalah kontrak yang mana penjual memindahmilik atau bersetuju untuk memindahmilik hak terhadap barangan kepada pembeli dengan balasan yang disebut harga. Barangan merangkumi setiap jenis harta alih seperti kenderaan, pakaian, makanan, peralatan elektronik, buku dan sebagainya.
PERJANJIAN JUALAN vs PERJANJIAN UNTUK MENJUALΒ Β
Terdapat 2 bentuk perjanjian berkenaan dengan jualan barangan iaitu perjanjian jualan dan perjanjian untuk menjual. Kedua-dua perjanjian ini berbeza dari segi masa di mana hakmilik barangan dan risiko dipindahkan kepada pembeli dan juga dari bentuk remidi yang diberikan.
- Perjanjian jualan berlaku apabila kontrak jualan dan pindahmilik barangan berlaku pada masa yang sama.
- Perjanjian untuk menjual adalah persetujuan menjualbeli barangan yang mana perlaksanaannya dibuat pada satu masa akan datang. Pemindahan risiko berlaku semasa hakmilik barangan diserah kepada pembeli.Β
TERMA TERSIRATΒ bagi PERJANJIAN JUALAN
Jika tiada terma nyata di dalam kontrak jualan barangan di antara penjual dan pembeli yang menunjukkan tujuan yang berbeza ataupun jika tiada kontrak jualan bertulis di antara kedua-dua pihak, terma tersirat di dalam Akta Jualan Barangan 1957 akan digunapakai.
Terma tersirat di dalam kontrak jualan barangan termasuk >
- Penjual harus mempunyai hakmilik yang sah terhadap barangan yang dijual semasa barangan dipindahmilik kepada pembeli.
- Barangan yang dijual harus bersamaan dan bertepatan dengan deskripsi yang diberi secara lisan, di dalam bahan promosi seperti iklan dan brosur atau di atas label.
- Barangan yang dijual harus mempunyai kualiti boleh dagang (merchantable quality) yang bermaksud bahawa barangan itu boleh diterima oleh seseorang yang munasabah yang membuat penilaian ke atasnya ataupun barangan itu sesuai bagi tujuan pembelian jika pembeli menyatakan tujuan membeli. Walaubagaimanapun, maxim undang-undang kaveat emptor yang membawa maksud pembeli harus berwaspada meletakkan tanggungjawab ke atas pembeli untuk memastikan bahawa barangan yang dibeli adalah sempurna dan menepati citarasa pembeli.
- Barangan harus tepat dengan sampel jika sampel diberi kepada pembeli.
Sekiranya penjual melanggar mana-mana terma tersirat, pembeli berhak menamatkan kontrak jualan.
WARANTI TERSIRAT
Selain daripada terma tersirat, Akta Jualan Barangan 1957 juga mengandungi waranti tersirat. Pelanggaran waranti tersirat memberi pembeli hak untuk menuntut gantirugi daripada penjual.
Antara waranti tersirat yang terkandung di dalam Akta Jualan Barangan 1957 adalah >
- Pembeli berhak menikmati milikan aman (quiet enjoyment) terhadap barangan yang dibeli tanpa sebarang gangguan daripada penjual atau ejennya.Β
- Barangan harus bebas dari sebarang gadaian atau bebanan.
PELAKSANAAN KONTRAK
Kontrak jualan barangan dianggap terlaksana pada masa penjual menyerahkan barangan dan pembeli menerima barangan serta membuat pembayaran. Sekiranya penjual atau pembeli melanggar kontrak, pihak yang terkilan boleh memulakan tindakan mahkamah untuk menuntut gantirugi atau pelaksanaan spesifik iaitu memaksa pihak yang melanggar kontrak untuk melaksanakan kontrak seperti yang dipersetujui.
HAK PENJUAL YANG TIDAK MENERIMA BAYARAN
Jika pembeli gagal membuat bayaran, penjual mempunyai hak untuk >
- Mendapat lien ke atas barangan iaitu hak bagi penjual untuk memegang barangan yang masih di dalam tangan penjual.
- Menahan barangan yang di dalam perjalanan jika pembeli didapati muflis.
- Menjual semula barangan kepada pihak lain yang akan memperolehi hak yang sempurna berbanding dengan pembeli yang asal.