Skip to main content

FRANCAIS

Francais adalah salah satu sistem yang digunakan oleh perniagaan yang berdaya maju untuk berkembang selain daripada strategi pengembangan perniagaan yang lain seperti pembukaan cawangan, pelantikan ejen atau pengedar dan penubuhan perniagaan usahasama.

Terdapat 2 pihak utama di dalam sistem francais iaitu >

  • Pemberi francais atau francaisor iaitu perniagaan yang telah terbukti kejayaannyaΒ yang bersedia untuk menawarkan hak perniagaan kepada pihak lain.
  • Pemegang francais atau francaisi iaitu pihak yang diberikan hak oleh pemberi Β francais untuk menjalankan perniagaan tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh pemberi francais.

Perniagaan secara francais sedang meningkat di Malaysia hasil dari dasar dan usaha kerajaan untuk melahir dan memperkasakan lebih ramai usahawan francais. Francais merangkumi pelbagai jenis perniagaan terutama sekali perniagaan makanan segera (fast food), peruncitan, farmasi dan perkhidmatan. Terdapat banyak contoh perniagaan francais yang berjaya seperti McDonalds, Kentucky Fried Chicken (KFC), 7-Eleven, Secret Recipe dan sebagainya.Β 

Β 

KELEBIHAN SISTEM FRANCAIS

Sistem francais adalah unik dan mempunyai kelebihan bagi kedua-dua pemberi francais dan pemegang francais.Β 

Bagi pemberi francais, sistem francais membolehkan perkembangan perniagaan dengan lebih mudah serta peluang untuk menambah keuntungan hasil dari perniagaan francais yang dijalankan oleh pemegang francais. Tanpa sistem ini, pemberi francais mungkin mempunyai sumber yang terhad untuk memperkembangkan perniagaan.

Bagi pemegang francais, perniagaan francais mempunyai risiko kegagalan yang rendah berbanding dengan perniagaan biasa kerana perniagaan francais adalah perniagaan yang telah terbukti kejayaannya.

 

DEFINISI FRANCAIS

Di Malaysia, perniagaan francais adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Akta Francais 1998 (Pindaan) 2020 yang mengandungi terma dan syarat yang mengawal perniagaan francais terutama sekali untuk menjaga kepentingan pemegang francais.

Definisi francais di bawah Akta Francais 1998 (Pindaan) 2020 disimpulkan sebagai :

Kontrak atau perjanjian, samada nyata atau tersirat, samada secara lisan atau bertulis di mana >

  • Pemberi francais memberi pemegang francais hak untuk mengendalikan perniagaan mengikut sistem francais dan tempoh yang ditetapkan oleh pemberi francais.
  • Pemberi francais memberi pemegang francais hak untuk menggunakan cap dagangan atau rahsia dagangan yang dipunyainya.
  • Pemberi francais memiliki hak untuk melaksanakan kawalan berterusan ke atas pengendalian perniagaan oleh pemegang francais sepanjang tempoh yang ditetapkan.
  • Pemberi francais mempunyai tanggungjawab untuk memberikan bantuan termasuk pembekalan bahan dan perkhidmatan, latihan dan pemasaran kepada pemegang francais.
  • Sebagai balasan kepada pemberian hak, pemegang francais dikehendaki membayar fi atau bentuk balasan yang lain.
  • Pemegang francais mengendalikan perniagaan secara berasingan daripada pemberi francais dan mereka tidak boleh dianggap sebagai perkongsian.

Β Β 

PERJANJIAN FRANCAIS

Akta Francais 1998 (Pindaan) 2020 menetapkan bahawa perjanjian francais hendaklah bertulis dan mengandungi perkara yang termasuk >

  • Nama dan perihal keluaran dan perniagaan di bawah francais.
  • Hak wilayah yang diberikan kepada pemegang francais.
  • Fi francais, fi promosi, royalti atau bayaran lain yang dikenakan ke atas pemegang francais.
  • Kewajipan pemberi francais dan pemegang francais.
  • Hak pemegang francais untuk menggunakan harta intelek kepunyaan pemberi francais.
  • Tempoh francais.
  • Jenis bantuan yang diberikan oleh pemberi francais.
  • Hak pemegang francais untuk menyerah hak francais.
  • Tempoh bertenang.Β 
  • Penamatan francais.

Perjanjian francais harus dikemukakan oleh pemberi francais kepada pemegang francais sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perjanjian ditandatangani supaya pemegang francais dapat meneliti perjanjian. Perjanjian francais juga tertakluk kepada tempoh bertenang selama sekurang-kurangnya 7 hari bekerja dari tarikh perjanjian disempurnakan. Di dalam tempoh ini, pemegang francais berhak untuk menamatkan perjanjian.

 

PENDAFTARAN FRANCAIS

Pemberi francais harus mendaftarkan francais dengan mengemukakan permohonan serta dokumen berikut kepada Pendaftar Francais >

  • Dokumen penzahiran (Borang 1) yang lengkap.
  • Sampel perjanjian francais.
  • Manual pengendalian dan latihan francais.
  • Akaun yang telah diaudit dan penyata kewangan yang terbaru.

 

TEMPOH FRANCAIS

Setelah pendaftaran diluluskan, francais akan berkuatkuasa bagi tempoh sekurang-kurangnya 5 tahun dari tarikh notis bertulis yang diberikan olehΒ  Pendaftar Francais tertakluk kepada laporan tahunan yang harus dikemukakan oleh pemberi francais.

Perjanjian francais yang ditandatangani pula tidak boleh ditamatkan sebelum tarikh tamat tempoh kecuali dengan sebab-sebab yang munasabah kecuali sekiranya kedua-dua pemberi dan pemegang francais bersetuju secara sepakat untuk menamatkan perjanjian francais.

Dalam situasi di mana tempoh francais luput, pemberi francais hendaklah melanjutkan tempoh francais kecuali jika pemegang francais memilih untuk tidak meneruskan francais atau pemegang francais telah memungkiri terma perjanjian francais.

 

KUMPULAN WANG PROMOSI

Pemberi francais yang mengenakan fi promosi kepada pemegang francais hendaklah menyimpan fi promosi di dalam akaun khas yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Promosi. Dana di dalam akaun ini adalah khas untuk aktiviti promosi francais sahaja.

 

KESALAHAN DI BAWAH AKTA FRANCAIS 1998 (Pindaan) 2020

Pihak yang melakukan kesalahan di bawah Akta Francais 1998 (Pindaan) 2020 boleh dikenakan denda tidak kurang dari RM 5,000 dan tidak lebih dari RM 50,000. Bagi kesalahan kali kedua, hukuman yang lebih berat dikenakan iaitu denda tidak kurang dari RM 10,000 atau penjara bagi tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Apabila menghukum pemberi francais bagi kesalahan pertama, mahkamah boleh >

  • Mengisytiharkan perjanjian francais di antara pemberi francais dan pemegang francais sebagai batal dan tidak sah.
  • Mengarahkan pemberi francais membayar balik apa-apa bayaran yang telah dibayar oleh pemegang francais.
  • Melarang pemberi francais daripada membuat perjanjian francais yang baru atau melantik pemegang francais yang baru.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.