Skip to main content

DOKUMEN PINJAMAN KEWANGAN

Dana yang mencukupi adalah penting bagi setiap perniagaan untuk berkembang maju. Dana diperlukan untuk membiayai pelaburan tetap dan juga sebagai modal kerja atau modal pusingan. Namun begitu, sumber kewangan adalah masalah utama yang sering dihadapi oleh perniagaan.

Kebanyakan perniagaan bergantung kepada pinjaman kewangan untuk memperolehi dana. Pinjaman kewangan boleh diperolehi dari bank pembangunan, bank perdagangan dan institusi kewangan yang lain.

Pinjaman kewangan mempunyai kos dan risiko yang tinggi kepada peminjam. Selain daripada kadar faedah yang dikenakan, peminjam juga harus mencagarkan sekuriti atau kolateral yang akan hilang sekiranya peminjam tidak mampu membayar balik pinjaman. Dengan itu, peminjam perlu memahami syarat dan terma pinjaman yang dinyatakan di dalam dokumen pinjaman kewangan.

 

SURAT TAWARAN PINJAMAN

Setelah permohonan pinjaman diluluskan oleh institusi kewangan, Surat Tawaran (Letter of Offer) akan diberikan kepada bakal peminjam. Surat Tawaran ini mengandungi terma dan syarat utama bagi pinjaman yang termasuk  

  • Jumlah pinjaman.
  • Jenis pinjaman samada pinjaman perniagaan, overdraf, pinjaman pembiayaan projek, pinjaman pembelian premis perniagaan atau sebagainya.
  • Kadar faedah yang dikenakan.
  • Tempoh pembayaran balik pinjaman.
  • Jumlah ansuran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam.
  • Tarikh pembayaran ansuran setiap bulan.
  • Bentuk cagaran atau sekuriti bagi pinjaman samada hartanah, sijil simpanan tetap, aset perniagaan, jaminan korporat dan sebagainya.
  • Dokumen sekuriti yang perlu disempurnakan oleh peminjam seperti perjanjian, pinjaman, gadaian, surat ikatan penyerahanhak, debentur, surat jaminan dan sebagainya.

Penerimaan tawaran oleh peminjam dibuat dalam tempoh yang ditetapkan dengan menandatangani pengakuan penerimaan di penghujung Surat Tawaran dan pengembaliannya kepada institusi kewangan. Walaupun Surat Tawaran telah diterima oleh peminjam, institusi kewangan hanya akan mengeluarkan pinjaman setelah perjanjian pinjaman rasmi dan segala dokumen sekuriti ditandatangani oleh peminjam. Surat Tawaran yang telah diterima oleh peminjam harus disetemkan sebanyak RM 10.

 

PERJANJIAN PINJAMAN

Setelah penyempurnaan Surat Tawaran, institusi kewangan  akan mengarahkan peguam supaya menyediakan Perjanjian Pinjaman untuk ditandatangani oleh kedua-dua pihak. Perjanjian Pinjaman selalunya mengikut format yang telah ditetapkan oleh institusi kewangan atau mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa.

Perjanjian Pinjaman (Loan Agreement/ Facility Agreement) adalah dokumen utama yang mewujudkan hubungan kontrak di antara institusi kewangan dan peminjam di dalam transaksi pinjaman. Perjanjian Pinjaman mengandungi terma dan syarat utama seperti di dalam Surat Tawaran tetapi dengan lebih nyata dan terperinci. Surat Tawaran biasanya dilampirkan bersama Perjanjian Pinjaman di mana syarat dan terma di dalam Surat Tawaran masih lagi berkuatkuasa terhadap kedua-dua pihak.

Syarat dan terma lain yang termasuk di dalam Perjanjian Pinjaman adalah berkenaan dengan >

  • Kadar faedah dan cara pengiraannya.
  • Perubahan kadar faedah di dalam tempoh pinjaman.
  • Faedah tambahan yang dikenakan atas kelewatan pembayaran.
  • Representasi dan waranti peminjam.
  • Waad afirmatif dan negatif peminjam.
  • Cara membuat pra-bayaran iaitu bayaran yang awal dari sepatutnya.
  • Kegagalan peminjam untuk membayar ansuran.
  • Prosiding mahkamah untuk menuntut hutang.
  • Lain-lain terma yang standard.

 

GADAIAN HARTANAH

Jika kolateral bagi pinjaman adalah dalam bentuk hartanah yang mempunyai dokumen hakmilik individu, dokumen sekuriti yang perlu disempurnakan oleh peminjam ialah >>

  • Borang Gadaian (Borang 16A).
  • Lampiran yang menyatakan syarat dan terma di antara peminjam sebagai penggadai dan institusi kewangan sebagai pemegang gadaian.

Gadaian undang-undang (legal charge) tertakluk kepada peruntukan di dalam Kanun Tanah Negara 1965. Gadaian perlu didaftarkan di pejabat tanah yang berkenaan di mana nama pemegang gadaian akan dicatatkan di dalam dokumen hakmilik hartanah. Jika peminjam gagal membayar balik pinjaman, institusi kewangan berhak untuk melelong hartanah yang digadai dan menggunakan hasilnya untuk menjelaskan hutang peminjam. 

 

Terdapat 2 jenis gadaian iaitu > 

  • Gadaian Pihak Pertama (First Party Charge) di mana peminjam dan tuanpunya hartanah adalah pihak yang sama.
  • Gadaian Pihak Ketiga (Third Party Charge) di mana peminjam dan tuanpunya hartanah adalah pihak yang berbeza.

SURATIKATAN PENYERAHANHAK

Suratikatan Penyerahanhak (Deed of Assignment) adalah dokumen sekuriti yang digunapakai jika hartanah yang digunakan digadai.

 

DEBENTUR

Debentur adalah sejenis dokumen pengesahan hutang oleh sebuah syarikat yang akan memberikan hak kontraktual kepada pemegang debentur iaitu institusi kewangan ke atas syarikat. Hanya syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 2016 boleh mewujudkan debentur.

Melalui debentur, pemegang debentur berhak mendapat 2 jenis caj ke atas aset syarikat iaitu >

  • Caj tetap (fixed charge) ke atas aset syarikat yang tertentu dan spesifik di mana syarikat tidak lagi boleh mengurus aset ini tanpa kebenaran pemegang debentur
  • Caj terapung (floating charge) ke atas semua aset syarikat  secara umum. Caj terapung tidak menghalang syarikat dari mengurus aset berkenaan kecuali setelah pemegang debentur memberikan notis untuk menguatkuasakan caj disebabkan kegagalan syarikat membayar hutang

  

SURAT JAMINAN

Surat Jaminan (Letter of Guarantee) adalah dokumen yang ditandatangani oleh penjamin untuk menjamin pembayaran balik pinjaman oleh peminjam. Sekiranya peminjam gagal membayar hutang, institusi kewangan berhak menuntut hutang daripada penjamin. Namun, penjamin mempunyai hak indemniti terhadap peminjam setakat jumlah yang telah dibayar oleh penjamin  kepada institusi kewangan.

Bagi pinjaman oleh syarikat, jaminan selalunya diberikan oleh pengarah syarikat secara peribadi (director’s guarantee) ataupun oleh syarikat atau badan korporat yang lain (corporate guarantee).

 

DUTI SETEM

Menurut Akta Setem 1949, duti setem yang perlu dibayar bagi Perjanjian Pinjaman adalah RM 5 bagi setiap RM 1,000 daripada jumlah pinjaman. Sebagai contoh, perjanjian pinjaman bagi jumlah pinjaman sebanyak RM 150,000 akan dikenakan duti setem sebanyak RM 750.

Walaupun terdapat beberapa dokumen sekuriti yang terpakai untuk satu transaksi pinjaman, duti setem seperti kiraan di atas hanya dikenakan kepada satu dokumen sahaja iaitu dokumen yang menjadi Suratcara Utama. Dokumen selain daripada Suratcara Utama yang asal yang digunakan di dalam transaksi pinjaman yang sama dikenakan duti setem nominal iaitu RM 10 bagi salinan asal dan setiap salinan pendua.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.