Skip to main content

AGENSI

Secara umumnya, ejen adalah seseorang yang dilantik oleh pihak yang dipanggil prinsipal untuk mewakilinya di dalam urusan dengan pihak ketiga. Prinsipal pula adalah seseorang yang memberi kuasa kepada ejen untuk bertindak bagi pihaknya.

Di dalam kehidupan seharian, kita sering bertindak sebagai ejen atau prinsipal tanpa disedari. Contohnya, di dalam situasi domestik, seorang isteri bertindak sebagai ejen kepada suami apabila isteri membayar bil elektrik yang di bawah nama suami. Begitu juga dengan juruwang di dalam kedai runcit yang menerima wang daripada pelanggan sebagai ejen kepada pemilik perniagaan.Β Β 

Di dalam arena komersial, kontrak agensi biasa berlaku di dalam bidang penjualan, pemasaran, pengeluaran, pengedaran, insurans dan hartanah. Pelantikan ejen adalah perlu bagi perniagaan yang besar atau yang mempunyai pasaran antarabangsa. Sesuatu perniagaan juga boleh berkembang dengan menjadi ejen kepada produk antarabangsa di Malaysia.Β 

 

DEFINISI EJEN

Peranan ejen di dalam aktiviti perniagaan ada dinyatakan di dalam Akta Jualan Barangan 1957 yang mentakrifkan ejen persaudagaraan sebagai seorang yang lazimnya mempunyai kuasa samada untuk menjual barangan, mengkonsain barangan bagi tujuan penjualan, membeli barangan atau mendapat wang atas jaminan bagi barangan, bagi pihak orang yang diwakilinya. Contoh ejen persaudagaraan adalah broker, pelelong dan peniaga kereta terpakai.

 

DUA KONTRAK BERKAITAN DENGAN AGENSI

Hubungan agensi melibatkan 2 kontrak yang berlainan iaitu :-Β 

  • Kontrak agensi di antara ejen dan prinsipal di mana ejen dilantik oleh prinsipal untuk mewakilinya.Β 

Kontrak ini menghuraikan tanggungjawab ejen dan prinsipal dan merangkumi segala persetujuan yang dicapai oleh kedua-dua pihak. Kontrak agensi tidak semestinya bertulis dan boleh dibuat secara lisan atau melalui perbuatan yang menunjukkan bahawa hubungan ejen-prinsipal wujud. Perkataan ejen dan prinsipal juga tidak perlu digunakan di dalam kontrak asalkan hubungan ejen dan prinsipal dapat dilihat dengan jelas.

  • Kontrak di antara prinsipal dan pihak ketiga yang diaturkan oleh ejen.Β 

Tanggungjawab prinsipal kepada pihak ketiga di bawah kontrak ini adalah seolah-olah kontrak diikat oleh prinsipal sendiri walaupun kontrak sebenarnya diikat oleh ejen bagi pihaknya.

 

UNDANG-UNDANG AGENSI

Di Malaysia, tidak ada akta spesifik yang berkaitan dengan agensi. Walaubagaimanapun, undang-undang berkenaan agensi ada ternyata di dalam Seksyen 135 hingga 191 Akta Kontrak 1950.Β 

Prinsipal dan ejen hendaklah seorang yang dewasa dan waras. Dewasa ditakrifkan mengikut Akta Had Umur Dewasa 1971 iaitu apabila seorang mencapai umur 18 tahun.

Walaubagaimanapun, ejen dan prinsipal tidak semestinya individu. Badan yang mempunyai entiti undang-undang seperti syarikat dan perbadanan juga boleh menjadi ejen atau prinsipal.

 

TANGGUNGJAWAB EJEN KEPADA PRINSIPAL

Ejen mempunyai tanggungjawab yang besar terhadap prinsipal kerana tindakan ejen boleh mengikat prinsipal. Antara kewajipan dan tanggungjawab ejen terhadap prinsipal adalah>>Β 

  • Menggunakan kemahiran yang biasa di dalam sesuatu urusan di mana ia bertindak bagi prinsipal. Ejen juga harus menjaga kepentingan prinsipal dengan sebaik mungkin seolah-olah ejen bertindak untuk dirinya sendiri. Sekiranya ejen cuai atau bertindak salahlaku yang menyebabkan kerugian bagi prinsipal, ejen harus membayar ganti rugi kepada prinsipal.
  • Mengikut arahan yang diberikan oleh prinsipal sebagaimana yang telah dipersetujui. Jika tidak, prinsipal berhak menolak kontrak yang dibuat oleh ejen.
  • Merahsiakan segala maklumat tentang prinsipal berkenaan dengan kontrak yang dilaksanakan supaya kepentingan prinsipal tidak terjejas.
  • Memberi prinsipal segala maklumat tentang kontrak yang membabitkan prinsipal.
  • Mengemukakan akaun yang terperinci tentang agensi secara telus untuk memastikan tiada unsur penyelewengan.
  • Tidak membuat pakatan dengan pihak ketiga untuk mendapat keuntungan bagi dirinya sendiri tanpa pengetahuan prinsipal ataupun menyimpan wang yang sepatutnya diberikan kepada prinsipal.
  • Tidak mewakilkan kuasanya kepada ejen kecil tanpa izin prinsipal.
  • Tidak mewakili lebih dari satu prinsipal untuk menjalankan urusan yang sama.

TANGGUNGJAWAB PRINSIPAL KEPADA EJEN

Tanggungjawab prinsipal kepada ejen adalah >>

  • Membayar komisyen kepada ejen seperti persetujuan di dalam kontrak agensi.
  • Tidak menghalang ejen dengan sengaja dari menjalankan tugas dan secara tidak langsung dari menerima komisyen.
  • Memberi pampasan kepada ejen jika ejen mengalami kecederaan akibat dari kecuaian atau pengabaian prinsipal semasa menjalankan tugas.
  • Menanggung segala kerugian ejen jika kerugian terhasil akibat daripada tindakan ejen yang mengikut undang-undang dan arahan prinsipal.

LIABILITIΒ  PRINSIPAL TERHADAP PIHAK KETIGA

Prinsipal bertanggungjawab kepada pihak ketiga di bawah kontrak yang diikat oleh ejen yang diberi kuasa olehnya, seolah-olah kontrak itu diikat oleh prinsipal sendiri.

PENAMATAN KONTRAK AGENSI

Kontrak agensi akan tamat apabila tugas yang perlu dilaksanakan oleh ejen telah sempurna dan prinsipal selesai membayar komisyen ataupun setelah tamat tempoh agensi yang ternyata di dalam kontrak.

Kontrak agensi juga boleh ditamatkan oleh persetujuan kedua-dua pihak. Jika kontrak ditamatkan atas kehendak satu pihak, pihak yang ingin menamatkan kontrak harus membayar kerugian kepada pihak yang satu lagi jika terdapat kerugian yang dialami akibat dari penamatan kontrak.Β 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.