Skip to main content

FAQ Undang-Undang

FAQ Undang-Undang

1. Bolehkah saya menjalankan perniagaan sebagai individu tanpa mendaftarkan apa-apa organisasi perniagaan?

Tidak. Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 menetapkan bahawa semua perniagaan harus didaftarkan kecuali jika ia merupakan aktiviti yang tersenarai di dalam Jadual Seksyen 2 Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

2. Bolehkah saya memulakan perniagaan sebagai pemilikan tunggal dan menubuhkan syarikat kemudian?

Boleh. Apabila perniagaan berkembang, anda boleh menamatkan pemilikan tunggal dan mendaftar syarikat. Anda juga boleh meneruskan pemilikan tunggal serta menubuhkan syarikat pada masa yang sama.

3. Perniagaan saya telah didaftarkan sebagai pemilikan tunggal dua tahun lepas. Perlukah saya memperbaharui pendaftaran itu?

Ya. Sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan adalah sah bagi tempoh satu tahun sahaja sekiranya anda telah membayar yuran untuk satu tahun. Kegagalan anda memperbaharui pendaftaran adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM 50,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

4. Jika perniagaan pemilikan tunggal berhutang dengan pihak lain, bolehkah pihak lain itu menuntut hutang daripada pemiliknya?

Boleh, kerana perniagaan pemilikan tunggal dan pemililknya dianggap entiti yang sama. Bagi syarikat sendirian berhad pula, si pemiutang hanya boleh menuntut dari syarikat itu sahaja dan bukan dari pemiliknya iaitu pemegang saham.

5. Perlukah pemilikan tunggal dan perkongsian menyediakan akaun untuk diaudit?

Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 tidak mewajibkan pemilikan tunggal dan perkongsian menyediakan akaun untuk diaudit. Namun, penyediaan akaun yang lengkap adalah satu amalan yang digalakkan supaya keadaan kewangan perniagaan boleh dikawal dengan rapi.

6. Adakah perkongsian profesional seperti firma guaman dan firma perakaunan tertakluk kepada pendaftaran di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956?

Tidak. Seksyen 4(d) Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 mengecualikan perkongsian profesional yang tertakluk kepada undang-undangnya yang tersendiri bagi setiap profesyen.

8. Haruskah setiap rakan kongsi menyumbangkan jumlah modal yang sama untuk menubuhkan perkongsian?

Tidak semestinya. Jumlah modal yang disumbangkan adalah tertakluk kepada persetujuan di antara rakan kongsi dan modal juga tidak semestinya di dalam bentuk wang ringgit.

9. Jika firma mempunyai dua rakan kongsi, mestikah pembahagian untung dibuat sama rata?

Pembahagian untung tertakluk kepada persetujuan rakan kongsi di dalam Perjanjian Perkongsian. Sekiranya tiada perjanjian, pembahagian untung akan dibuat sama rata mengikut Akta Perkongsian 1961.

10. Saya telah mendapat kelulusan nama syarikat tetapi saya tidak mampu untuk mendaftarkan syarikat sekarang. Bolehkah saya mengumpulkan wang dan mendaftarkan syarikat kemudian?

Nama yang diluluskan oleh SSM akan dirizabkan kepada pemohon selama sebulan sahaja dari tarikh kelulusan. Jika anda mengambil masa lebih dari sebulan untuk mendaftarkan syarikat, permohonan nama yang baru perlu dikemukakan kepada SSM.

11. Perlukah seorang pengarah memiliki saham di dalam syarikat?

Seorang pengarah tidak semestinya memiliki saham di dalam syarikat.

12. Perlukah meterai syarikat digunakan bagi penyempurnaan kontrak syarikat?

Penggunaan meterai syarikat adalah tertakluk kepada Perlembagaan Syarikat dan juga mana-mana undang-undang yang mewajibkan penggunaannya. Sebagai contoh, Borang Pindahmilik Tanah (Borang 14A) wajib disempurnakan dengan meterai syarikat di bawah Kanun Tanah Negara 1965.

13. Siapakah yang boleh menandatangani kontrak bagi pihak syarikat?

Kontrak syarikat boleh ditandatangani oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh Lembaga Pengarah mengikut resolusi syarikat.

14. Berapakah jumlah pengarah yang boleh dilantik di dalam sesebuah syarikat sendirian berhad?

Jumlah minimanya adalah seorang dan bilangan maksimanya tidak terhad tetapi tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan Syarikat.

15. Apakah kesannya kepada syarikat jika seorang pemegang saham meninggal dunia?

Kematian pemegang saham tidak mempunyai kesan kepada operasi syarikat kerana syarikat adalah entiti undang-undang yang tersendiri dan terasing daripada pemegang sahamnya. Saham yang dimiliki si mati akan menjadi milik waris dan boleh di pindahmilik atau dijual oleh waris tetapi tertakluk kepada terma di dalam Perjanjian Pemegang Saham.

16. Bolehkah tuanpunya premis menamatkan Perjanjian Sewa sebelum tamat tempoh sewaan?

Ini bergantung kepada terma di dalam Perjanjian Sewa. Pada lazimnya, kedua-dua pihak boleh menamatkan Perjanjian Sewa dengan memberi notis yang ditetapkan di dalam perjanjian kecuali jika tempoh sewaan adalah tetap dan tidak boleh ditamatkan sebelum akhir tempoh sewaan.

17. Bolehkah tempoh sewaan melebihi tiga tahun?

Tempoh sewaan tidak boleh melebihi tiga tahun di dalam Perjanjian Sewa tetapi kedua-dua pihak boleh memasukkan klausa untuk melanjutkan Perjanjian Sewa apabila tempoh perjanjian tamat.

18. Bolehkah pemaju memasukkan apa-apa terma mengikut kehendaknya di dalam Perjanjian Jualbeli bagi premis perniagaan?

Boleh, tetapi tertakluk kepada persetujuan kedua – dua pihak. Sekiranya Perjanjian Jualbeli adalah untuk kediaman yang belum siap dibina, terma dan syarat perjanjian perlu mengikut Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 dan tidak boleh diubah.

19. Berapakah yuran guaman yang perlu saya bayar kepada peguam untuk menyediakan Perjanjian Jualbeli bagi premis perniagaan yang berharga RM 200,000?

Yuran guaman yang perlu dibayar adalah RM 2,000 yang dikira seperti berikut:-

1% X RM 200,000 (yang pertama)     =     RM 2,000

Jumlah keseluruhan                            =     RM 2,000

Jumlah ini tidak termasuk bayaran bagi duti setem dan perbelanjaan lain.

20. Bagi pembelian premis yang telah siap dibina, bolehkah saya memasukkan syarat untuk membayar baki harga jualan premis dalam tempoh yang lebih dari tiga bulan dari tarikh perjanjian?

Tempoh pembayaran harga jualan premis adalah tertakluk kepada budibicara penjual dan boleh dirunding di antara kedua-dua pihak.

21. Siapakah yang bertanggungjawab untuk membayar duti setem bagi pindahmilik hartanah?

Pembeli bertanggungjawab untuk membayar duti setem bagi pindahmilik hartanah.

22. Berapakah duti setem bagi pindahmilik yang harus dibayar jika hartanah bernilai RM 200,000?

Duti setem yang perlu dibayar adalah RM 3,000 yang dikira seperti berikut:-

1% x RM 100,000 (yang pertama)      = RM 1,000

2% x RM 100,000 (yang selebihnya) = RM 2,000

                                                                               RM 3,000

23. Adakah kontrak perkhidmatan bagi pekerja eksekutif yang bergaji RM 3,000 tertakluk kepada syarat dan terma di dalam Akta Kerja 1955?

Tidak. Akta Kerja 1955 hanya terpakai kepada kontrak perkhidmatan bagi pekerja yang mendapat gaji tidak melebihi RM 2,000 sebulan.

24. Jika syarikat mengalami kerugian, bolehkah syarikat menahan gaji pekerja untuk sementara waktu?

Tidak boleh. Di bawah Akta Kerja 1955, majikan mempunyai tanggungjawab untuk membayar gaji setiap bulan dalam tempoh tujuh hari selepas tamat tempoh penggajian.

25. Haruskah syarikat yang mendapat keuntungan membayar bonus kepada pekerja?

Pembayaran bonus adalah bergantung kepada budibicara majikan kecuali jika bonus telah dijanjikan di dalam kontrak perkhidmatan.

26. Wajibkah syarikat memberi cuti belas ehsan (compassionate leave) bagi pekerja untuk menghadiri pengkebumian ahli keluarga?

Akta Kerja 1955 tidak menyediakan apa-apa peruntukan tentang cuti belas ehsan. Dengan itu, kebenaran bagi cuti ini adalah bergantung kepada budibicara majikan. Pekerja juga boleh menggunakan cuti tahunan untuk tujuan ini.

27. Jika pekerja yang seharusnya memberi notis tiga bulan menamatkan perkhidmatannya dalam tempoh 24 jam, berapakah jumlah yang boleh dituntut oleh syarikat daripadanya sekiranya gaji pekerja itu adalah RM 2,500?

Jumlah yang boleh dituntut untuk menggantikan notis adalah RM 7,500 iaitu jumlah gaji pekerja bagi tempoh notis yang dipersetujui.

Gaji RM 2,500 sebulan x notis 3 bulan = RM 7,500.

28. Saya menjalankan perniagaan kedai runcit. Adakah saya tertakluk kepada mana-mana undang-undang apabila menjual barangan kepada pelanggan?

Walaupun tidak ada kontrak bertulis di antara anda dan pelanggan, transaksi jualan barangan adalah tertakluk kepada Akta Jualan Barangan 1957.

 

29. Setelah membeli produk melalui jualan langsung, saya dapati bahawa produk itu tidak menepati citarasa saya. Bolehkah saya memulangkan produk itu?

Anda boleh memulangkan produk itu dalam tempoh sepuluh hari bekerja darípada tarikh kontrak kerana setiap kontrak jualan langsung boleh ditamatkan di dalam tempoh itu yang dikenali sebagai tempoh bertenang.

30. Perlukah saya mendaftarkan hakcipta?

Hakcipta tidak perlu didaftarkan. Perlindungan hakcipta akan diperolehi secara otomatik apabila karya yang layak dilindungi di bawah Akta Hakcipta 1987 memenuhi semua syarat.

31. Saya adalah seorang perekacipta program komputer yang bekerja dengan sebuah syarikat komputer. Adakah saya berhak mendapat hakmilik bagi program komputer ciptaan saya?

Jika anda mencipta program komputer atas arahan syarikat komputer iaitu majikan anda, program komputer itu akan menjadi hakmilik majikan kecuali jika anda mempunyai kontrak dengan majikan yang menyatakan sebaliknya.

32. Saya telah membeli program komputer yang asli bagi kegunaan syarikat. Bolehkah program komputer itu digunakan bagi kesemua komputer di pejabat saya?

Setiap program komputer hanya boleh digunakan bagi satu komputer sahaja kecuali jika lesen yang diberikan menyatakan sebaliknya.

34. Sekiranya saya menjadi penjamin kepada pinjaman syarikat yang diperolehi dari institusi kewangan, bolehkah hutang bagi pinjaman itu dituntut dari saya?

Boleh, kerana Surat Jaminan yang ditandatangani oleh anda mewujudkan liabiliti bagi anda, sama seperti liabiliti peminjam iaitu syarikat.

35. Bolehkah saya dihukum penjara kerana gagal membayar hutang kepada bank?

Tuntutan hutang adalah tindakan sivil yang remedinya berbentuk wang dan bukan hukuman penjara.

36. Bolehkah saya menjalankan perniagaan setelah saya diisytiharkan bankrap?

Sebagai bankrap, anda tidak boleh menjalankan perniagaan, terlibat di dalam pengurusan syarikat atau menjadi pengarah syarikat.